Showing posts with label Terjemahan. Show all posts
Showing posts with label Terjemahan. Show all posts

Friday, 20 March 2015

HAKIKAT KEHIDUPAN DUNIA

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

            Mengagumi kisah hidup individu non-muslim bukan bermakna kita mengiktiraf agamanya. Demi sesungguhnya, agama yang benar dan diredai disisi Allah hanyalah islam. Namun begitu, tidak salah untuk kita mengagumi dan mengambil pengajaran daripada kisah hidup mereka. Kita boleh mengimplikasikan pengajaran tersebut ke dalam kehidupan kita. Justeru, saya akan membawa satu kisah hidup seorang manusia yang bernama Arthur Ashe. 

Arthur Ashe adalah seorang Pemain Legenda Wimbledon. Dia telah mati akibat menghidapi penyakit AIDS. Penyakit ini berpunca daripada jangkitan darah ketika dia menjalani pembedahan jantung pada tahun 1983.

Selepas Arthur Ashe disahkan menghidapi penyakit AIDS, dia telah menerima berpucuk-pucuk surat daripada para peminatnya. Salah seorang daripada peminatnya telah mengutarakan satu soalan kepadanya:

"Kenapa Tuhan memilih kau untuk menghidapi penyakit yang kronik ini?"

Arthur Ashe membalas:

50 juta orang budak kecil sudah mula bermain tennis,
5 juta orang telah pandai bermain tennis,
50 ribu orang telah hadir ke litar,
5 ribu orang telah memasuki Grandslam,
50 orang telah menyertai Wimbledon,
4 orang pemain telah berjaya  mara ke peringkat separuh akhir,
2 orang pemain telah berjaya mara ke peringkat akhir dan bila aku berjaya mendakap trofi di tangan aku sendiri,
Aku tidak pernah mempersoalkan kepada Tuhan,
"Kenapa Aku?"

Jadi sekarang bila penyakit ini datang bertandang kepadaku, bagaimana mungkin aku mempersoalkan kepada Tuhan,
"Kenapa Aku?"

Kebahagiaan menjadikan engkau ceria!!
Ujian menjadikan engkau kuat!!
Kesedihan menjadikan engkau tabah!!
Kegagalan menjadikan engkau rendah hati!!
Kejayaan menjadikan engkau bersinar!!

Kadang-kadang kau rasa tidak puas hati dengan kehidupan yang kau ada sekarang. Sedangkan dalam masa yang sama, begitu ramai orang yang mendambakan kehidupan seperti kau.

Seorang anak kecil di kebun sangat teringin untuk terbang ke angkasa tatkala mendongak dan melihat kapal terbang yang sedang berawangan di langit.
Namun dalam masa yang sama, seorang pilot yang sedang mengemudi sebuah kapal terbang sangat teringin untuk pulang ke rumahnya tatkala melihat kawasan perumahan di lapangan.

Itulah hakikat kehidupan dunia!!
Nikmatilah kehidupan engkau sebaiknya..




Jika kemewahan hidup menjadi rahsia untuk mengecapi sesuatu kebahagiaan, sudah pasti orang kaya sudah bersuka-ria di jalanan.
Namun realitinya sekarang, anak-anak orang miskin yang mampu berbuat demikian.

Jika kuasa dan jawatan dapat menjamin keselamatan seseorang, sudah pasti orang-orang kenamaan akan ke hulu ke hilir tanpa sebarang kawalan.

Jika kecantikan dan populariti mampu menjanjikan satu perhubungan yang ideal, sudah pasti semua selebriti akan menikmati perkahwinan yang terbaik.

Bila hidup, biar bersahaja...
Bila berjalan, biar bersederhana...
Bila bercinta, biar setia...

*Kisah ini diterjemahkan daripada potongan teks di bawah. Terjemahan tidak terlalu terikat dengan teks asal seperti yang tertera di bawah. Teks ini dipetik daripada status facebook Ustaz Zahazan Mohamed. 

Wallahua'lam.

Monday, 9 March 2015

KISAH SI GADIS PEMUKAU

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
        
Al-kisah.....
Pada satu hari yang hening, seorang pemuda telah menzahirkan hasrat hati kepada ayahnya, "Ayah, aku ingin mengahwini seorang gadis yang telah aku lihat. Sungguh, aku telah jatuh hati dengan kejelitaanya. Jiwaku terpukau dengan kecantikan matanya."

Ayahnya pun menyambut keinginan anaknya itu dengan perasaan yang sungguh gembira dan bahagia, "Mana gadis yang kau maksudkan itu, biar ayah risikkan untuk kau wahai anakku."

Mereka berdua pergi kepada gadis tersebut. Tatkala si ayah melihat susuk tubuh gadis yang dimaksudkan, si ayah turut terpukau dan terpesona dengan gadis tersebut lantas berkata kepada si anak, "Dengar sini wahai anakku! Gadis ini tidak sesuai untuk kau. Gadis ini sesuai untuk orang yang berpengalaman dalam hidup seperti ayah."

Tercengang si anak dengan kata-kata si ayah lantas menyuarakan bantahannya, "Sesekali tidak! Aku yang akan berkahwin dengan dia. Bukan ayah!"

Maka bertengkarlah si ayah dan si anak untuk mendapatkan si gadis pemukau. Mereka pergi ke balai polis untuk menyelesaikan pertelingkahan tersebut. Selepas diceritakan masalah mereka kepada pegawai di sana, maka pegawai tersebut berkata, "Bawa gadis itu ke sini. Biar kami tanya dia sendiri, dia berkenan kepada si anak ke berkenan kepada si ayah."

Tatkala pegawai tersebut melihat susuk tubuh si gadis pemukau, maka mencairlah jiwa kelakiannya lantas berkata, "Gadis ini tidak sesuai untuk kamu berdua. Dia sesuai untuk orang berkedudukan di dalam negeri seperti aku."

Bertengkar pulalah tiga orang ini. Mereka pergi ke satu kementerian untuk menyelesaikan masalah ini. Apabila menteri melihat si gadis pemukau, menteri itu berkata, "Gadis ini tidak akan berkahwin dengan mana-mana lelaki kecuali lelaki tersebut adalah seorang menteri seperti aku."

Macam biasa, bertengkar jugalah si anak, si ayah, si pegawai dan si menteri. Maka sampailah berita ini kepada Perdana Menteri.

Ketika mereka berempat menghadap Perdana Menteri, arahan terus dikeluarkan, "Aku akan selesaikan masalah kamu semua. Bawa gadis itu ke sini!" Apabila Perdana Menteri melihat si gadis pemukau, lantas beliau menyatakan pendapatnya, "Gadis ini tidak akan berkahwin kecuali dengan Perdana Menteri seperti aku."

Episod pertengkaran merebut si gadis pemukau berjalan seperti mana skrip sebelum-sebelum ini. Cuma wataknya bertambah kepada lima orang.

Buat pertama kalinya si gadis pemukau menyuarakan pendapatnya, "Aku ada satu solusi. Solusinya begini, aku akan berlari dan kamu berlima akan berlari di belakangku. Siapa yang dapat pegang aku terlebih dahulu, dia akan berkahwin denganku."

Maka bermulalah acara larian yang entah berapa meter jaraknya. Si gadis pemukau lari di hadapan manakala lima orang yang terpukau tadi berlari di belakangnya. Dalam drama kejar-mengejar ini, akhirnya pada satu ketika lima orang lelaki tadi terjatuh ke dalam satu lubang yang dalam. Maka si gadis pemukau pergi melihat mereka berlima di dalam lubang lantas berkata :

"Kamu semua kenal siapa aku? Kalau kamu semua ingin tahu, aku adalah DUNIA!!! Ramai manusia yang terkejar-kejar untuk mendapatkan aku sehingga sanggup tinggalkan ajaran agama. Manusia yang sebegini, sampai masuk lubang kubur sekalipun dia tidak akan sesekali memperolehiku (puas dengan apa yang ada pada diriku)".

Dan ingatlah, bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Ya Allah...janganlah jadikan dunia ini sebagai cita-cita terbesar kami... Naikkanlah tahap keimanan kami dari semasa ke semasa.

*Terjemahan yang tidak begitu terikat dengan teks asal cerita. Cerita ini mungkin tiada sandarannya dan mungkin juga mustahil untuk berlaku. Sumber rujukannya juga sangat tidak layak dijadikan bahan ilmiah. Cerita-cerita sebegini boleh dijadikan peringatan untuk memberi pengajaran kepada manusia. Akan tetapi sesekali bukan untuk menjadi dalil agama. Dalil agama tidak boleh direka-reka dan ditokok tambah. Ketahuilah, agama-agama terdahulu telah rosak kerana banyak berlakunya tokok tambah daripada golongan agamawan mereka sndiri. Golongan agamawan yang dimaksudkan di sini adalah golongan agamawan yang menjaga kepentingan peribadi dan tidak punya sifat rabbani. Cerita ini saya terjemahkan daripada:



Wallahua'lam 

Tuesday, 6 January 2015

APA KATA DOKTOR RAISUNI TERHADAP MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Bersempena bulan Rabi’ul Awwal ini, umat islam biasanya di segarkan dengan peristiwa kelahiran Nabi Muhammad Sollallohu’alaihiwasallam atau masyarakat kita lebih terbiasa dengan istilah bahasa arab iaitu “Maulidurrasul”. Sebahagian besar ahli sejarah berpendapat bahawa Nabi Muhammad Sollallohu’laihiwasallam telah dilahirkan pada tanggal 12 Rabi’ul Awwal, Tahun Gajah. Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli sejarah bagi menetapkan tarikh lahir Nabi Muhammad dengan tepat. Saya tidak ingin memanjangkan kalam dalam menyentuh perbezaan pendapat ini.

Apa yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca dalam artikel pada kali ini adalah pandangan Doktor Ahmad Raisuni terhadap Majlis Sambutan Maulidurrasul. Doktor Raisuni adalah salah seorang daripada 3 orang Naib Ketua Kesatuan Ulama’ Sedunia (Kesatuan Ulama' Sedunia diketuai oleh Doktor Yusuf Al-Qaradawi. Jawatan Naib Ketua Kesatuan Ulama' Sedunia turut dijawat oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang). Beliau juga merupakan salah seorang daripada tokoh dalam bidang Maqasid Syariah pada masa kini. Berikut adalah pandangan Doktor Raisuni terhadap Majlis Sambutan Maulidurrasul:

DOKTOR AHMAD RAISUNI
"Memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad Sollallohu’alaihiwasallam (Maulidurrasul) tiada disebutkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Di dalam islam juga tiada satu hukum dan amalan khusus bagi maulidurrasul. Maka mengkhususkan maulidurrasul dengan sesuatu ibadah ataupun amalan seperti puasa atau solat atau zikir-zikir tertentu adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, menkhususkan sesuatu amalan seperti yang telah disebutkan sebelum ini adalah satu bid’ah dan tiada perkara tersebut di dalam islam.

Adapun begitu, mengadakan majlis yang bersifat pilihan yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat dan budaya, maka ianya adalah harus dan tiada larangan baginya. Lebih-lebih lagi jika ianya dapat menguatkan rasa kasih sayang kepada Rasulullah Sollallohu’alaihiwasallam di dalam lubuk hati, membesarkannya di dalam jiwa, menambahkan pengetahuan tentangnya di dalam akal dan menghadirkan keperibadiannya di dalam pemikiran kita.

Maka setiap aktiviti yang tujuannya bertepatan dengan syariat dan baik tujuannya boleh dilaksanakannya dengan pelbagai cara bagi mencapai tujuan-tujuan yang telah disebutkan sebelum ini. Umat islam pada hari ini memerlukan kepada aktiviti-aktiviti yang mampu menambahkan pengetahuan tentang nabi mereka, mengingatinya, membesarkannya, mengenali tentang sifat-sifat dan peribadinya lantas meneladaninya. Perkara ini perlu dilakukan pada setiap masa dan tidak terikat dengan sesuatu sambutan sahaja.

Namun begitu, sesuatu sambutan dapat menjadikannya lebih mudah untuk dilaksanakan dan lebih banyak penerimaan dan kesannya kepada masyarakat. Maka sangatlah elok jika bulan Rabi’ul Awwal dijadikan sebagai bulan bagi Rasulullah. Pada bulan ini diajarkan sejarah hidup Rasulullah yang agung, keperibadiannya yang indah, sifat-sifatnya yang hebat dan pemikirannya yang matang. Semua benda ini boleh dilaksanakan dalam sesi pembelajaran, ceramah-ceramah dan seminar-seminar. Ia juga boleh dilaksanakan melalui syair, nasyid dan selain daripada dua ini yang bersifat kesenian dan kesusasteraan. Tidak ketinggalan, ianya boleh dilaksanakan melalui penganjuran pertandingan-pertandingan kebudayaan yang dianjurkan oleh persatuan komuniti penduduk, persatuan-persatuan (NGO), dan sekolah-sekolah kita…

 Maka apa yang kita perlukan dan apa yang pemuda-pemuda kita perlukan secara khususnya. Untuk memenuhi diri kita dengan pengetahuan bagi membesar dan memuliakan Nabi Muhammad daripada memenuhi diri kita dengan perkara-perkara yang tidak elok. Dan segala perkara yang kita perlukan sehingga lahirlah perasaan gembira dan bangga terhadap Nabi kita,  terhadap hidayah yang telah diberikan kepada kita, terhadap hubungankait kita dengannya, terhadap nikmat Allah kepada kita dan terhadap keimanan kita kepada dia.

Allah Ta’ala berfirman, {Katakanlah wahai Muhammad, ‘kedatangan Al-Quran adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita, (bukan dengan yang lainnya)’} dan Rasulullah Sollallohu’alaihiwasallam adalah satu rahmat Allah yang telah diberikan kepada hamba-hambaNya, Allah Ta’ala berfirman, {dan tidaklah kami (Allah) menurunkan kamu (Nabi Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam} dan Rasulullah juga pernah bersabda {Aku adalah rahmat yang dihadiahkan oleh Allah kepada seluruh alam}

Maka bagaimana kita tidak bergembira dengan kelahiran Nabi dan bagaimana pula kita tidak menggalakkan orang bergembira dengan kurniaan, rahmat dan nikmat Allah. Allah Ta’ala berfirman, {dan dengan nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur)}"

Itulah pandangan Doktor Raisuni terhadap Majlis Sambutan Maulidurrasul yang saya terjemahkan daripada:
http://www.alislah.ma/%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%B4%D8%A7%D8%B1%D8%A7%D8%AA/%D9%81%D9%82%D9%87%D9%8A%D8%A9/33769

           Saya akhiri artikel saya pada kali ini dengan meninggalkan pendapat ringkas Sheikh Muhammad Al-Hasan Walid Ad-Dedew terhadap Sambutan Maulidurrasul.


“Pada bulan ini (Rabi'ul Awwal), Nabi Muhammad Sollallohu'alaihiwasallam telah dilahirkan...

Pada bulan ini juga bermulanya wahyu kepada Nabi Muhammad...

Pada bulan ini juga Allah telah mengambil nyawa Nabi Muhammad pada tanggal 12 Rabi'ul awal...

Sesungguhnya terdapat perbezaan pendapat (dalam kalangan ahli sejarah) akan tarikh kelahiran Nabi Muhammad...

Tetapi telah sepakat bahawasanya baginda telah wafat pada 12 Rabi'ul awal dan ianya bukanlah satu perayaan bagi umat islam...

Jikalaupun ada kata sepakat bahawasanya ia adalah hari kelahiran baginda, maka ia adalah satu sambutan biasa daripada sambutan-sambutan bersejarah bagi umat ini...

Bukanlah ia satu perayaan daripada perayaan-perayaan yang disyariatkan oleh Allah dan tiada padanya hukum-hukum yang terkhusus...”

WALLAHUA'LAM