BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Segala puji bagi
Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai sekalian alam. Hanya kepada Dia
sahajalah kita menyerahkan diri dan hanya kepada Dia sahajalah kita memohon
pertolongan. Ketahuilah, tiada seorangpun manusia yang terlepas daripada
melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang membuat silap adalah orang yang
bertaubat. Sikap yang mulia ini telah ditunjukkan oleh datuk dan nenek kita dahulu,
iaitu Adam dan Hawwa’.
Sebaliknya, keangkuhan makhluk dalam
melakukan dosa amatlah dimurkai dan dilaknat oleh Allah. Sifat angkuh dalam
melakukan dosa ini telah dilakukan oleh Iblis pada suatu masa dahulu. Justeru, saya ingin berkongsi satu cerita yang telah
dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran dengan memaparkan sikap makhlukNya yang angkuh dan sikap makhlukNya yang penuh dengan sifat kehambaan.
Pada suatu masa dahulu, ketika Allah
memerintahkan kepada malaikat untuk sujud kepada Adam, maka semua malaikat sujud
kepada Adam kecuali Iblis. Sujud ini bukanlah sujud pengabdian sepertimana yang
dilakukan oleh orang-orang kafir kepada berhala-berhala mereka, akan tetapi
ianya sebagai satu tanda penghormatan. Iblis bukan sahaja enggan untuk
melakukan arahan Allah ini, namun dia dengan angkuhnya mengatakan,
“Perlukah aku sujud kepada Adam, sedangkan aku lebih baik
daripadanya? Aku diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan daripada
tanah!”.
Maka dengan keengganan dan
keangkuhan Iblis ini telah menjadikan dia termasuk dalam golongan orang-orang
kafir dan dilaknat Allah hinggalah ke hari pengadilan.
Mudah-mudahan kita
tidak termasuk dalam golongan yang melakukan dosa dalam keadaan bangga dan
angkuh. Sungguh, manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Akan
tetapi, biarlah dosa-dosa yang kita lakukan itu dilakukan atas dasar kelemahan
kita sebagai manusia. Jika kita perhati gelagat dan sikap manusia pada zaman
ini, tidak kurang yang berbangga dengan dosa yang mereka lakukan. Mereka bangga
jika mereka mempunyai wanita simpanan yang rupawan. Mereka bangga jika mereka
punya gosip hangat untuk disebarkan.
Seterusnya, Allah
ta’ala mengarahkan Adam dan Hawwa’ untuk tinggal di dalam syurga. Mereka boleh
bersuka ria dan menikmati segala makanan dan kemewahan yang terdapat di
dalamnya. Namun begitu, Allah melarang mereka memakan satu pokok. Jika mereka
memakannya, maka mereka akan menzalimi diri mereka sendiri. Adam dan Hawwa’ sentiasa
mematuhi arahan Allah. Namun begitu, pada satu ketika, syaitan yang menjadi
musuh mereka telah menggelincirkan mereka daripada syurga dengan menggoda mereka untuk memakan pokok yang dilarang
oleh Allah. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran di dalam Surah
Al-A’raf, ayat 20-21 :
[Kemudian syaitan membisikkan
pikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini)
tertutup. Dan (syaitan) berkata, “Tuhanmu hanya melarang kamu berdua
mendekati pohon ini, agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi
orang yang kekal (dalam syurga)”. Dan dia (syaitan) bersumpah kepada
keduanya, “Sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu.”]
GAMBAR HIASAN |
Maka Adam dan Hawwa’ telah tertewas dengan godaan syaitan dan
mereka berdua telah dikeluarkan daripada syurga dan telah diturunkan ke bumi. Maka
sesungguhnya bercambahlah permusuhan antara manusia dan syaitan selepas
daripada peristiwa itu. Allah ta’ala
berfirman di dalam Surah Fatir, ayat 6 :
[Sungguh, syaitan itu musuh
bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu
hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang
menyala-nyala.]
Dan Allah berkata kepada Adam dan Hawwa’ : Turunlah kamu daripada
syurga ke bumi, sebahagian kamu musuh bagi sebahagian yang lain, dan kamu akan
tinggal di bumi dan berseronoklah kamu dengan nikmat-nikmat dan
kebaikan-kebaikannya hinggalah satu tempoh yang telah ditetapkan. Maka Allah
telah mengilhamkan kepada Adam beberapa ungkapan. Adam dan isterinya menyebut
ungkapan tersebut dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Ungkapan tersebut
adalah seperti firman Allah ta’ala di dalam Surah Al-A’raf, ayat 23 :
[Keduanya berkata, “Ya Tuhan
kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami
dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”]
Allah ta’ala telah menerima taubat mereka kerana Allah ta’ala sentiasa
menerima taubat hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya. Sungguh, rahmat
Allah kepada hamba-hambaNya sangatlah luas dan pintu pengampunan Allah sentiasa
terbuka luas kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadanNya.
Akhir kata,
saya berpesan kepada diri sendiri dan sekalian pembaca agar mewarisi
sikap yang telah ditunjukkan oleh datuk dan nenek kita. Apabila kita terlanjur
dalam sesuatu dosa, bersegeralah kembali dan memohon keampunan daripada Allah.
Mohonlah kepada Allah agar sentiasa membimbing dan memelihara kita dalam setiap
gerak-geri kehidupan kita. Sungguh, kita akan sesat tanpa bimbingan
daripadanya. Saya mengakhiri artikel pada kali ini dengan satu doa yang
telah diajarkan oleh Nabi Muhammad Sollahu’alaihiwasallam kepada anak
kesayangannya, Fatimah.
يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث أصلح لي شأني كاه ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين
[Wahai Yang Maha Hidup… Wahai Yang Maha
Berdiri Dengan Diri Sendiri… Dengan rahmatMu bantulah daku. Peliharalah seluruh
urusan hidupku. Dan janganlah Engkau biarkan aku menguruskannya sendiri
walaupun dengan sekelip mata.]
Rujukan
:
1)
At-Tafseer Al-Waseet karangan Ustaz Doktor Wahbah Az-Zuhaili (
Jilid 1 ), Darul Fikr Dimasyq, terbitan
ketiga ( 2009 ).
No comments:
Post a Comment