Showing posts with label Ilmiah. Show all posts
Showing posts with label Ilmiah. Show all posts

Saturday, 22 August 2015

DUNIA YANG DI SALAH ERTIKAN

 BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM 


     Segelintir manusia mempunyai tafsiran yang salah terhadap beberapa ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad yang mencela dan mencemuh kehidupan dunia. Mereka menyangka manusia dilarang untuk menikmati kehidupan dunia secara menyeluruh. Sebagai contoh, mereka beranggapan manusia tidak boleh bekerja untuk mencari harta walaupun dengan cara yang halal dan mereka juga beranggapan manusia tidak boleh menikmati kehendak syahwat mereka walau dengan apa cara sekalipun. Sungguh, sangkaan ini adalah tidak tepat. 

     Jadi, jika sangkaan mereka itu tidak tepat, apa pula pandangan yang lebih tepat dalam hal ini? Bagi menjawab persoalan ini, saya akan cuba membawa beberapa pandangan tokoh ilmuan islam dalam hal ini. Sebelum itu, suka saya untuk memberikan beberapa contoh ayat Al-Quran yang mencela dan mencemuh kehidupan dunia.

( اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْو... ( الحديد : 20 

Mafhumnya : “Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan)…” (al-Hadid : 20) 

 ( وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ( الحديد : 20...  

Mafhumnya : “…Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (al-Hadid : 20) 

( وَمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ( العنكبوت : 64 

Mafhumnya : “Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (al-‘Ankabut : 64)



     Imam Ghazali (wafat 505 hijrah) menyebut di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, : [Ini adalah satu kesalahan yang berlaku bagi segelintir manusia yang menyangka maksud daripada bersungguh-sungguh meninggalkan dunia adalah menyekat manusia daripadanya (dunia) secara total. Lantas mengabaikannya. Sesungguhnya syahwat itu diciptakan untuk memberi manfaat kepada kehidupan dan ianya adalah perkara penting dalam tabiat semula jadi. Jika tiada syahwat makan, maka akan binasalah manusia. Jika tiada syahwat perhubungan seks, maka akan pupuslah sistem kehidupan. Jika tiada perasaan marah secara total, maka manusia tidak akan mempertahankan hak dirinya walaupun dia dianiaya oleh orang lain… Bukanlah satu tuntutan (di dalam islam) untuk menolak dunia secara total, sebaliknya apa yang dituntut (di dalam islam) adalah mengembalikan ia kepada kesederhanaan iaitu berada pada garisan pertengahan di antara terlalu menolak dan terlalu mengikutinya.] {1}

     Imam as-Syathibi (wafat 790 hijrah) pula berkata di dalam kitabnya al-Muwafaqat : [Dan ketikamana Allah Ta’ala mencemuh dunia dan perhiasannya, maka sebahagian daripada para sahabat ridhwanullahu’alaihim berazam untuk tidak mengahwini perempuan dan meninggalkan kelazatan dunia. Mereka ingin mengasingkan diri semata-semata untuk beribadah kepada Allah. Maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menolak perbuatan mereka dengan bersabda : “Barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku maka mereka bukanlah daripada kalanganku”.] {2}

    Seterusnya saya ingin membawa intipati pemikiran Doktor Yusuf al-Qaradhawi dalam hal ini. Ianya seperti berikut, [Islam merupakan agama sederhana dalam memahami hakikat kehidupan manusia yang berada di antara dua aliran. Pertama golongan yang menolak adanya hari kiamat dan menganggap dunia kekal selamanya. Firman Allah:

( وَقَالُواْ إِنْ هِيَ إِلاَّ حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ ( الأنعام : 29 

Mafhumnya : “Dan tentu mereka akan mengatakan, (Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia ini sahaja dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan).” (al-An’am : 29) 

      Golongan ini tenggelam dalam jurang nafsu syahwat yang membawa kepada kesalahan dan dosa. Mereka memperhambakan diri kepada kebendaan dan tidak ada hala tuju dalam kehidupan kecuali untuk mendapat habuan dunia semata-mata.

   Manakala, golongan kedua pula yang menolak kehidupan dunia dan tidak pernah menghiraukannya. Mereka melihat dunia adalah keburukan yang perlu dielakkan dan mengharamkan ke atas mereka kelazatan dunia dan nikmatnya. Mereka mengasingkan diri dari aktiviti keduniaan dan masyarakat. 

      Sedangkan risalah islam datang untuk mengajarkan kepada bani insan bahawa di sana adanya dua kehidupan iaitu kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Islam menjadikan dunia sebagai ladang untuk manusia menyimpan hasil bekalannya di alam akhirat. 

     Islam menganggap aktiviti kehidupan manusia adalah ibadah kepada Allah dan sebahagian dari pelaksanaan tugas manusia. Islam menolak tindakan meyusah dan memayahkan dalam urusan agama sehingga meninggalkan kehidupan dunia dan nikmat yang terdapat di dalamnya, sebagaimana islam turut menolak tindakan golongan yang hanyut dengan keduniaan semata-mata.] {3}

Wallahua'lam.

{1} Dinukilkan oleh Doktor Ahmad al-Raisuni. Maqosid al-Maqsosid. 2013. As-Syabakah al-Arabiah. Halaman 105.
{2} Lihat as-Syathibi. Al-Muwafaqot. 1997. Dar Ibn ‘Affan. Jilid 2, halaman 284.
{3} Diterjemahkan oleh Rosli Mokhtar, Keserdahanaan Dalam Islam. 2011. Casa Publication. Halaman 32 & 33.

Wednesday, 29 October 2014

BACAAN AL-QURAN KELAS PERTAMA


BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM

            Segala puji bagi Allah, pemilik sekalian alam yang telah memberikan kita nikmat ilmu pengetahuan. Sesungguhnya, antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya di dunia ini adalah nikmat ilmu pengetahuan. Sebahagian besar daripada kita dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan pembangunan insan dari sudut agama. Jadi, semestinya kebanyakan daripada kita sudah mula mempelajari Al-Quran sejak zaman kanak-kanak lagi.


            Ketahuilah, terlalu banyak kelebihan yang telah disediakan bagi mereka yang mempelajari, mengajar dan membaca Al-Quran. Di sini, saya akan membawakan beberapa ayat Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad berkaitan kelebihan membaca Al-Quran dengan harapan ia dapat menjadi pendorong kepada kita untuk terus berdamping dengan Al-Quran. Allah S.W.T berfirman di dalam Surah Fatir, ayat 29 :  

Mafhumnya: [Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi  atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian].

Nabi Muhammad pernah bersabda,


عن عبد الله بن مسعود قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ : آلم حرفٌ ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ ولام حرف وميمٌ حرفٌ )، رواه الترمذي. وانظر : صحيح الترمذي، 2910


Mafhumnya: [Daripada Abdullah Bin Mas’ud berkata, Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, barangsiapa yang membaca Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan. Dan bagi satu kebaikan itu seperti 10 kali ganda. Tidaklah aku mengatakan bahawasanya “alif, lam, mim” itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf].        
   
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi di dalam sahihnya)

Nabi Muhammad juga pernah bersabda,


عن أبي أمامة الباهلي قال : قال رسوا الله صلى الله عليه وسلم : ( اقْرَؤوا القرآنَ فإنه يأتي يومَ القيامةِ شفيعًا لأصحابه ) . صحيح مسلم.

Mafhumnya: Daripada Abu Umamah Al-Bahili berkata: Nabi Muhammad telah bersabda: [Bacalah Al-Quran. Maka sesungguhnya Ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sahabatnya (pembacanya)].

(Sahih Imam Muslim)

          Berdasarkan hadis di atas, Sheikh Dr. Farouq Hammadah telah menyatakan di dalam kitabnya, Dalil Arraghibin ila Riyadhissolihin, bahawa arahan “Bacalah Al-Quran” adalah satu arahan kepada seluruh umat islam. Bermakna, ia juga adalah arahan kepada setiap dari kita agar membaca Al-Quran. Seterusnya sheikh juga ada menerangkan berkaitan kalimah "شفيعا" yang terdapat dalam hadis tersebut. Sheikh menerangkan bahasawanya Al-Quran hanya akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kelak kepada sesiapa yang membacanya dan beriman dengannya serta mempraktikkan inti patinya. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan manusia yang akan diberikan syafaat oleh Al-Quran di akhirat kelak.

          Pada zaman ini, manusia boleh dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan tahap pembacaan Al-Quran mereka. Sheikh Usamah Yasin di dalam kitabnya Hal Attajwidu Wajib, telah mengkategorikan manusia pada masa kini kepada 10 kategori berdasarkan tahap pembacaan Al-Quran mereka. Saya ingin berkongsi ciri-ciri pembacaan Al-Quran kelas pertama yang telah dinyatakan oleh Sheikh Usamah Yasin. 

           Golongan manusia yang berada pada kelas pertama dalam pembacaan Al-Quran adalah mereka yang membacanya dengan bacaan yang betul, menjaga adab tilawah dan hukum-hukum tajwid. Mereka juga menjaga tempat memulakan bacaan (ibtida’) dan tempat memberhentikan bacaan (waqaf) dengan baik serta bertepatan dengan maksud ayat. Mereka mengambil sanad bacaan Al-Quran daripada guru-guru mereka yang bersambung rantaian sanadnya daripada satu generasi ke satu generasi yang lain hinggalah rantaian sanad ini sampai kepada Rasululllah sollahu ‘alaihi wasallam.

               Antara sahabat nabi yang mempunyai pembacaan Al-Quran yang baik dan tepat seperti mana ia diturunkan kepada nabi adalah Abdullah Bin Mas’ud. Sehinggakan nabi sendiri sangat suka mendengar Ibn Mas’ud membaca Al-Quran. Ada satu kisah, nabi kita pernah menangis ketika mendengar Ibn Mas’ud membaca Al-Quran, kisah ini terdapat di dalam sahih Al-Bukhari dan Muslim. Selain itu, Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam juga pernah mengi’tiraf bacaan Ibn Mas’ud dengan sabdanya,


من أحبّ أن يقرأ القرآنَ غَضًّا كما أُنْزِل..فليقرأهُ على قِراءةِ ابن أُمّ عَبْدٍ)، يعني : عبد الله بن مسعود

“Sesiapa yang suka/hendak membaca Al-Quran dengan lancar dan sohih seperti mana ia diturunkan..maka bacalah seperti bacaan Ibn Ummi ‘Abd” iaitu, Abdullah Bin Mas’ud. 

(Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah)

Dan diriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Abu Uthman Annahdi, dia berkata: “Kami solat Maghrib bersama Ibn Mas’ud dan dia telah membaca ( قل هو الله أحد ), dan demi Allah, aku mendambakan dia membaca surah Al-Baqarah, dengan kemerduan suaranya dan kelancaran bacaannya.”

Imam Ibn Al-Jazari rahimahullahu ta’ala ketika memberi komentar berkaitan kisah yang diceritakan di atas berkata, “Inilah sunnatullah tabaraka wa ta’ala kepada sesiapa yang membaca Al-Quran secara bertajwid dengan tepat seperti mana ia telah diturunkan, engkau akan berasa kelazatan dan kekhusyukan di hati ketika dia memperdengarkan bacaanya. Inilah antara rahsia-rahsia Allah ta’ala yang diberikan kepada sesiapa yang dia kehendaki dalam kalangan ciptaannya. Sesungguhnya aku sempat bersama tok guru aku yang tidak merdu suaranya dan tidak mengetahui seni lagu dalam pembacaan Al-Quran. Dia hanya membaca Al-Quran dalam keadaan yang baik dan melafazkannya secara jelas. Jika dia membaca Al-Quran, para pendengar akan berasa seronok. Tidak kira mereka ini dalam kalangan orang awam mahupun orang yang berkecimpung dalam bidang Al-Quran, orang arab mahupun orang asing (bukan arab). Mereka sanggup meninggalkan pembaca-pembaca Al-Quran yang merdu suaranya dan pandai melagukan bacaan tetapi meninggalkan hukum-hukum tajwid.”

Akhir kata, saya menyeru kepada para pembaca sekalian agar terus berusaha untuk memantapkan bacaan Al-Quran kita dari semasa ke semasa. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang mengharapkan perdagangan yang tiada ruginya dan golongan yang mengharapkan Al-Quran akan datang kepadanya untuk memberi syafaat di akhirat kelak. 


Ketahuilah! Dalam kalangan manusia, tidak ramai yang suka membaca Al-Quran. Dalam kalangan pembaca Al-Quran, tidak ramai yang membacanya dengan bertajwid. Dalam kalangan orang yang membaca Al-Quran dengan bertajwid, tidak ramai yang menghayati inti patinya. Dalam kalangan orang yang menghayati inti pati Al-Quran, tidak ramai yang mengamalkan inti pati Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita dalam kalangan yang sedikit (tidak ramai) ini. Allahumma amin. Wallahua'lam


Kitab Rujukan:

        1)      Kitab Hal Attajwidu Wajib karangan Syeikh Usamah Yasin Hijazi Kailani Al-Hasani,                         cetakan Darul Minhaj, cetakan ketiga (2011).
        2)      Kitab Al-Wasit Fi Ilmi Attajwid Liriwayati Hafs ‘An ‘Asim Min Toriq Assyatibi karangan                     Jamal Bin Ibrahim Al-Qurasy, cetakan Maktabah Attaubah, cetakan pertama (2012).
        3)      Kitab Dalil Arraghibin ila Riyadhissolihin karangan Sheikh Farouq Hammadah, cetakan                      Darul Salam, cetakan pertama (2007). 

Tuesday, 28 October 2014

KEANGKUHAN MAKHLUK : ANTARA MANUSIA DAN SYAITAN


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

            Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai sekalian alam. Hanya kepada Dia sahajalah kita menyerahkan diri dan hanya kepada Dia sahajalah kita memohon pertolongan. Ketahuilah, tiada seorangpun manusia yang terlepas daripada melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang membuat silap adalah orang yang bertaubat. Sikap yang mulia ini telah ditunjukkan oleh datuk dan nenek kita dahulu, iaitu Adam dan Hawwa’.

Sebaliknya, keangkuhan makhluk dalam melakukan dosa amatlah dimurkai dan dilaknat oleh Allah. Sifat angkuh dalam melakukan dosa ini telah dilakukan oleh Iblis pada suatu masa dahulu. Justeru, saya ingin berkongsi satu cerita yang telah dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran dengan memaparkan sikap makhlukNya yang angkuh dan sikap makhlukNya yang penuh dengan sifat kehambaan.

Pada suatu masa dahulu, ketika Allah memerintahkan kepada malaikat untuk sujud kepada Adam, maka semua malaikat sujud kepada Adam kecuali Iblis. Sujud ini bukanlah sujud pengabdian sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang kafir kepada berhala-berhala mereka, akan tetapi ianya sebagai satu tanda penghormatan. Iblis bukan sahaja enggan untuk melakukan arahan Allah ini, namun dia dengan angkuhnya mengatakan,

“Perlukah aku sujud kepada Adam, sedangkan aku lebih baik daripadanya? Aku diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan daripada tanah!”.

  Maka dengan keengganan dan keangkuhan Iblis ini telah menjadikan dia termasuk dalam golongan orang-orang kafir dan dilaknat Allah hinggalah ke hari pengadilan.

            Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang melakukan dosa dalam keadaan bangga dan angkuh. Sungguh, manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Akan tetapi, biarlah dosa-dosa yang kita lakukan itu dilakukan atas dasar kelemahan kita sebagai manusia. Jika kita perhati gelagat dan sikap manusia pada zaman ini, tidak kurang yang berbangga dengan dosa yang mereka lakukan. Mereka bangga jika mereka mempunyai wanita simpanan yang rupawan. Mereka bangga jika mereka punya gosip hangat untuk disebarkan.

          Seterusnya, Allah ta’ala mengarahkan Adam dan Hawwa’ untuk tinggal di dalam syurga. Mereka boleh bersuka ria dan menikmati segala makanan dan kemewahan yang terdapat di dalamnya. Namun begitu, Allah melarang mereka memakan satu pokok. Jika mereka memakannya, maka mereka akan menzalimi diri mereka sendiri. Adam dan Hawwa’ sentiasa mematuhi arahan Allah. Namun begitu, pada satu ketika, syaitan yang menjadi musuh mereka telah menggelincirkan mereka daripada syurga dengan  menggoda mereka untuk memakan pokok yang dilarang oleh Allah. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran di dalam Surah Al-A’raf, ayat 20-21 :

 [Kemudian syaitan membisikkan pikiran jahat kepada mereka agar menampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata, “Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini, agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga)”. Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya, “Sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu.”]

GAMBAR HIASAN

              
                Maka Adam dan Hawwa’ telah tertewas dengan godaan syaitan dan mereka berdua telah dikeluarkan daripada syurga dan telah diturunkan ke bumi. Maka sesungguhnya bercambahlah permusuhan antara manusia dan syaitan selepas daripada peristiwa  itu. Allah ta’ala berfirman di dalam Surah Fatir, ayat 6 :

 [Sungguh, syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.]

            Dan Allah berkata kepada Adam dan Hawwa’ : Turunlah kamu daripada syurga ke bumi, sebahagian kamu musuh bagi sebahagian yang lain, dan kamu akan tinggal di bumi dan berseronoklah kamu dengan nikmat-nikmat dan kebaikan-kebaikannya hinggalah satu tempoh yang telah ditetapkan. Maka Allah telah mengilhamkan kepada Adam beberapa ungkapan. Adam dan isterinya menyebut ungkapan tersebut dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Ungkapan tersebut adalah seperti firman Allah ta’ala di dalam Surah Al-A’raf, ayat 23 :

 [Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”]

            Allah ta’ala telah menerima taubat mereka kerana Allah ta’ala sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya. Sungguh, rahmat Allah kepada hamba-hambaNya sangatlah luas dan pintu pengampunan Allah sentiasa terbuka luas kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadanNya.

            Akhir kata, saya berpesan kepada diri sendiri dan sekalian pembaca agar mewarisi sikap yang telah ditunjukkan oleh datuk dan nenek kita. Apabila kita terlanjur dalam sesuatu dosa, bersegeralah kembali dan memohon keampunan daripada Allah. Mohonlah kepada Allah agar sentiasa membimbing dan memelihara kita dalam setiap gerak-geri kehidupan kita. Sungguh, kita akan sesat tanpa bimbingan daripadanya. Saya mengakhiri artikel pada kali ini dengan satu doa yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad Sollahu’alaihiwasallam kepada anak kesayangannya, Fatimah.

يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث أصلح لي شأني كاه ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين
[Wahai Yang Maha Hidup… Wahai Yang Maha Berdiri Dengan Diri Sendiri… Dengan rahmatMu bantulah daku. Peliharalah seluruh urusan hidupku. Dan janganlah Engkau biarkan aku menguruskannya sendiri walaupun dengan sekelip mata.]


Rujukan :

      1)      At-Tafseer Al-Waseet karangan Ustaz Doktor Wahbah Az-Zuhaili ( Jilid 1 ),  Darul Fikr Dimasyq, terbitan ketiga ( 2009 ).