BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Bersempena bulan Rabi’ul Awwal ini, umat islam biasanya di segarkan dengan peristiwa
kelahiran Nabi Muhammad Sollallohu’alaihiwasallam atau masyarakat kita lebih terbiasa
dengan istilah bahasa arab iaitu “Maulidurrasul”. Sebahagian besar ahli sejarah
berpendapat bahawa Nabi Muhammad Sollallohu’laihiwasallam telah dilahirkan pada
tanggal 12 Rabi’ul Awwal, Tahun Gajah. Namun begitu, terdapat perbezaan
pendapat dalam kalangan ahli sejarah bagi menetapkan tarikh lahir Nabi Muhammad
dengan tepat. Saya tidak ingin memanjangkan kalam dalam menyentuh perbezaan
pendapat ini.
Apa yang
ingin saya kongsikan dengan para pembaca dalam artikel pada kali ini adalah
pandangan Doktor Ahmad Raisuni terhadap Majlis Sambutan Maulidurrasul. Doktor
Raisuni adalah salah seorang daripada 3 orang Naib Ketua Kesatuan Ulama’ Sedunia (Kesatuan Ulama' Sedunia diketuai oleh Doktor Yusuf Al-Qaradawi. Jawatan Naib Ketua Kesatuan Ulama' Sedunia turut dijawat oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang). Beliau juga merupakan salah seorang
daripada tokoh dalam bidang Maqasid Syariah pada masa kini. Berikut adalah
pandangan Doktor Raisuni terhadap Majlis Sambutan Maulidurrasul:
DOKTOR AHMAD RAISUNI |
"Memperingati
hari kelahiran Nabi Muhammad Sollallohu’alaihiwasallam (Maulidurrasul) tiada
disebutkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Di dalam islam juga tiada satu
hukum dan amalan khusus bagi maulidurrasul. Maka mengkhususkan maulidurrasul
dengan sesuatu ibadah ataupun amalan seperti puasa atau solat atau zikir-zikir
tertentu adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, menkhususkan sesuatu amalan seperti
yang telah disebutkan sebelum ini adalah satu bid’ah dan tiada perkara tersebut
di dalam islam.
Adapun
begitu, mengadakan majlis yang bersifat pilihan yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat
dan budaya, maka ianya adalah harus dan tiada larangan baginya. Lebih-lebih
lagi jika ianya dapat menguatkan rasa kasih sayang kepada Rasulullah Sollallohu’alaihiwasallam
di dalam lubuk hati, membesarkannya di dalam jiwa, menambahkan pengetahuan
tentangnya di dalam akal dan menghadirkan keperibadiannya di dalam pemikiran kita.
Maka setiap aktiviti
yang tujuannya bertepatan dengan syariat dan baik tujuannya boleh dilaksanakannya
dengan pelbagai cara bagi mencapai tujuan-tujuan yang telah
disebutkan sebelum ini. Umat islam pada hari ini memerlukan kepada
aktiviti-aktiviti yang mampu menambahkan pengetahuan tentang nabi mereka,
mengingatinya, membesarkannya, mengenali tentang sifat-sifat dan peribadinya lantas meneladaninya. Perkara ini perlu dilakukan pada setiap masa dan tidak
terikat dengan sesuatu sambutan sahaja.
Namun begitu,
sesuatu sambutan dapat menjadikannya lebih mudah untuk dilaksanakan dan lebih
banyak penerimaan dan kesannya kepada masyarakat. Maka sangatlah elok jika bulan
Rabi’ul Awwal dijadikan sebagai bulan bagi Rasulullah. Pada bulan ini diajarkan
sejarah hidup Rasulullah yang agung, keperibadiannya yang indah, sifat-sifatnya
yang hebat dan pemikirannya yang matang. Semua benda ini boleh dilaksanakan
dalam sesi pembelajaran, ceramah-ceramah dan seminar-seminar. Ia juga boleh
dilaksanakan melalui syair, nasyid dan selain daripada dua ini yang bersifat
kesenian dan kesusasteraan. Tidak ketinggalan, ianya boleh dilaksanakan melalui
penganjuran pertandingan-pertandingan kebudayaan yang dianjurkan oleh persatuan
komuniti penduduk, persatuan-persatuan (NGO), dan sekolah-sekolah kita…
Maka apa yang kita perlukan dan apa yang pemuda-pemuda
kita perlukan secara khususnya. Untuk memenuhi diri kita dengan pengetahuan
bagi membesar dan memuliakan Nabi Muhammad daripada memenuhi diri kita dengan
perkara-perkara yang tidak elok. Dan segala perkara yang kita perlukan sehingga lahirlah
perasaan gembira dan bangga terhadap Nabi kita, terhadap hidayah yang telah diberikan kepada kita, terhadap hubungankait kita dengannya, terhadap nikmat Allah kepada kita dan terhadap keimanan kita kepada dia.
Allah Ta’ala
berfirman, {Katakanlah wahai Muhammad, ‘kedatangan Al-Quran adalah semata-mata
dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan
Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita, (bukan dengan yang lainnya)’} dan
Rasulullah Sollallohu’alaihiwasallam adalah satu rahmat Allah yang telah
diberikan kepada hamba-hambaNya, Allah Ta’ala berfirman, {dan tidaklah kami (Allah)
menurunkan kamu (Nabi Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam}
dan Rasulullah juga pernah bersabda {Aku adalah rahmat yang dihadiahkan oleh Allah
kepada seluruh alam}
Maka bagaimana
kita tidak bergembira dengan kelahiran Nabi dan bagaimana pula kita tidak
menggalakkan orang bergembira dengan kurniaan, rahmat dan nikmat Allah. Allah
Ta’ala berfirman, {dan dengan nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan
bersyukur)}"
Itulah pandangan Doktor Raisuni terhadap Majlis Sambutan Maulidurrasul yang saya terjemahkan daripada:
http://www.alislah.ma/%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%B4%D8%A7%D8%B1%D8%A7%D8%AA/%D9%81%D9%82%D9%87%D9%8A%D8%A9/33769
http://www.alislah.ma/%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%B4%D8%A7%D8%B1%D8%A7%D8%AA/%D9%81%D9%82%D9%87%D9%8A%D8%A9/33769
Saya akhiri artikel saya pada kali ini dengan meninggalkan pendapat ringkas Sheikh Muhammad Al-Hasan
Walid Ad-Dedew terhadap Sambutan Maulidurrasul.
“Pada bulan ini (Rabi'ul Awwal), Nabi Muhammad
Sollallohu'alaihiwasallam telah dilahirkan...
Pada bulan ini juga bermulanya wahyu kepada Nabi
Muhammad...
Pada bulan ini juga Allah telah mengambil nyawa Nabi
Muhammad pada tanggal 12 Rabi'ul awal...
Sesungguhnya terdapat perbezaan pendapat (dalam
kalangan ahli sejarah) akan tarikh kelahiran Nabi Muhammad...
Tetapi telah sepakat bahawasanya baginda telah wafat
pada 12 Rabi'ul awal dan ianya bukanlah satu perayaan bagi umat islam...
Jikalaupun ada kata sepakat bahawasanya ia adalah hari
kelahiran baginda, maka ia adalah satu sambutan biasa daripada
sambutan-sambutan bersejarah bagi umat ini...
Bukanlah ia satu perayaan daripada perayaan-perayaan
yang disyariatkan oleh Allah dan tiada padanya hukum-hukum yang terkhusus...”
WALLAHUA'LAM
No comments:
Post a Comment