BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Bermulanya perjalanan
hidup kita dengan permulaan yang begitu hina. Kita hanyalah seorang insan yang
berasal daripada setitik air yang sangat hina (air mani). Jika ditaburkan air
itu ke atas tanah, nescaya tidak membawa sebarang manfaat. Maha Kuasa Sang
Pencipta yang menjadikan kita daripada air yang hina itu. Berasalnya kita
daripada satu sel yang terkecil di dalam tubuh manusia iaitu sperma (benih
lelaki) yang bercantum dengan satu sel yang terbesar di dalam tubuh manusia iaitu ovum (benih wanita).
Ya, kita tidak
mampu mengimbau memori sewaktu kita di dalam kandungan ibu. Namun, tatkala kita
memerhatikan seorang ibu yang sedang sarat mengandung, dapatlah kita bayangkankan
keadaan kita suatu masa dahulu. Sedia maklum, kita pernah mengakui bahawa Allah
adalah Tuhan kita. Ingatlah, dialah Tuhan yang menjaga kita dan sekalian
manusia di dalam perut ibu masing-masing. Tidaklah menjadi satu masalah bagi
Yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa untuk menjaga kita walaupun
hanya berdindingkan kulit manusia yang nipis dan lembut. Kulit manusia tidaklah
sekuat dinding kereta kebal yang mampu mempertahankan tuannya daripada serangan
musuh. Siapa kita untuk megingkari arahan dan laranganNya?
Pada
satu ketika, seorang wanita yang bergelar ibu pernah membataskan pergerakan
mereka demi memastikan anak di dalam kandungan sentiasa berada dalam keadaan
baik. Wanita itu tidak dapat menjalankan aktiviti-aktiviti harian secergas
hari-hari biasanya. Wanita itu juga terpaksa membataskan beberapa jenis makanan.
Hal ini semua di lakukan semata-mata untuk memastikan kita yang berada dalam
perutnya sentiasa dalam keadaan terbaik. Ketahuilah, wanita itu pernah berjuang
seluruh jiwa dan raganya untuk memastikan kita dapat melihat keindahan alam
yang serba bercahaya. Berbeza dengan alam sebelumnya itu yang penuh dengan
kegelapan. Gelap pada pandangan mata kita. Mata yang hanya celik tatkala
mendapat suluhan cahaya dan tidak celik jika dalam keadaan gelap gelita. Adakah
kita dapat melihat sesuatu jika kita diletakkan dalam sebuah bilik yang gelap? Sudah
tentu jawapannya tidak. Ternyata kita hanyalah seorang manusia yang lemah. Akan
tetapi masih ramai lagi manusia lemah yang sombong dengan Tuhan.
Seinfiniti kesyukuran kita panjatkan kepada Allah
‘Azza Wa Jalla kerana telah memberi ibu dan bapa yang cukup baik kepada kita. Kita
telah dididik dan diasuh oleh ibu dan bapa kita dengan limpahan kasih dan
sayang. Kita tidak senasib dengan sebahagian saudara kita yang tidak sempat
merasai nikmat dunia. Ibu dan bapa mereka membuang mereka di jalanan tanpa
sebarang sebab dan alasan yang boleh diterima. Disebabkan malu dengan dosa yang
mereka lakukan pada suatu ketika dahulu, anak kecil yang suci daripada sebarang
dosa pula yang menjadi mangsa. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita daripada
melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Kita juga berharap agar mereka yang
telah terlanjur dalam melakukan perbuatan yang terkutuk itu akan menemui jalan
yang lurus sebelum ajal menjemput.
Semoga kita semua menjadi hambaNya yang bersyukur
dan tidak lupa asal usul. Sungguh, kita tidak akan berjaya pada hari ini dengan
usaha kita semata.
Kalaulah kita berjaya pada hari ini hanya dengan
usaha kita semata, kenapa kita tidak menjadikannya lebih baik daripada apa
yang kita ada sekarang?
Kalaulah kita handsome/cantik disebabkan
diri kita sendiri semata, kenapa kita tidak menjadikannya lebih handsome/cantik
daripada yang kita ada sekarang?
Kalaulah kita seorang yang banyak ilmu dengan
usaha kita semata, kenapa kita tidak menjadikannya lebih banyak daripada yang kita
ada sekarang?
Begitulah seterusnya. Jadi, jangan sesekali kita
lupa akan Pemberi atas segala nikmat yang kita perolehi di dunia ini. Kembalikanlah
segala puja dan puji kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment