Saturday 15 September 2018

UCAPAN GRADUASI [PESANAN HATI BUAT PENUNTUT ILMU]


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Syukur, ruh dan jasad kita masih bersatu. Sungguh, saat ruh dan jasad sudah bercerai, tiada lagi amalan yang boleh dikerjakan untuk bekal di sana. Terus kepada tujuan utama artikel saya pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca "Ucapan Graduasi" yang telah saya sediakan untuk Istiadat Konvokesyen, Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (PMMM). Istiadat ini telah dilaksanakan pada tahun 2017. 

Saya yakin, saya bukanlah yang terbaik dalam kalangan para graduan. Namun, setelah dipilih untuk menyampaikan ucapan graduasi, inilah pesanan hati saya untuk kawan-kawan yang hadir pada istiadat tersebut. Kini, saya abadikan pesanan hati saya di sini, dengan harapan ianya dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Dan saya harap, satu hari nanti, saya sendiri akan membaca pesanan hati saya ini, lantas mengetuk hati saya yang mungkin sudah mula lupa pada ketika itu.  

UCAPAN GRADUASI ISTIADAT KONVOKESYEN PMMM 2017

UCAPAN BERMULA

Terima kasih kepada pengerusi majlis. Yang Berbahagia, Dato’ Jamal bin Hasan (Duta Malaysia ke Maghribi) dan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia yang hadir, Yang Dimuliakan para asatizah daripada pelbagai universiti, Yang Dihormati Saudara Muhammad Haiqal bin Ahmad Fuad (Presiden PMMM) dan pucuk pimpinan PMMM yang lain, Yang Dikasihi dan Disayangi hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Berdirinya saya di sini adalah sebagai wakil kepada graduan-graduan yang lain. Sebelum saya memulakan ucapan ini, suka saya menzahirkan rasa penghargaan kami kepada ajk-ajk istiadat konvokesyen kali ini. Sungguh, mereka telah mengorbankan masa dan tenaga mereka bagi memastikan istiadat ini berjalan dengan lancar. Kami sedar, bagi memastikan istiadat ini berjalan dengan lancar, bukanlah dengan hanya memperuntukkan masa sejam dua, malah berbulan-bulan. Telah banyak masa belajar, rehat dan lain-lain lagi telah mereka korbankan. Moga Allah membalaskan pengorbanan kalian dengan sebaik-baik balasan.

PARA GRADUAN ISTIADAT KONVOKESYEN PMMM 2017
Di kesempatan ini, kami ingin menasihatkan diri kami sendiri dan hadirin sekalian beberapa perkara seperti berikut:

      1.     IKHLASKAN NIAT

Mungkin ini adalah nasihat yang sangat cliche. Namun kita sama-sama sedar, perjuangan berperang dengan jiwa dan diri sendiri ini amatlah susah. Justeru, peringatan ini harus di ulang berkali-kali, mudah-mudahan ianya menjadi satu penyelamat yang dapat menarik balik kita ke lorong yang benar tatkala hati kita terhuyung-hayang ke sana dan ke sini. Sebelum saya menjejakkan kaki ke bumi Maghribi ini, antara pesanan ayah saya yang masih segar di dalam ingatan saya adalah:

“Angah (ayah saya memanggil saya angah), bila sudah masuk bidang agama ini, hati memang kena jaga betul-betul. Tatkala berada dalam kalangan orang yang minat dan memuliakan orang agama, jangan ada rasa besar diri. Dan tatkala berada dalam kalangan orang yang jauh dan anti kepada orang agama, jangan pula ada rasa terhina dan malu.” - dinukilkan secara makna -

Ya, itulah realitinya. Sungguh, belitan syaitan itu sungguh dahsyat. Tatkala kita di kelilingi oleh orang yang baik dan minat agama, syaitan akan membelit hati kita untuk merasa besar diri, mungkin terlintas di hati kita perasaan,

“Ya, mereka mesti kagum dengan ceramah aku tadi. Selepas ini, pasti mereka jemput aku lagi.”

atau

Perform juga aku jadi imam tadi, mesti ada yang cair punyalah.”

atau macam-macam lagi perasaan besar diri yang hadir dalam hati kita, bergantung kepada situasi yang kita hadapi.

Begitulah sukarnya kita hendak bertarung dengan diri kita sendiri. Lupakah kita kepada sabdaan Nabi Muhammad SAW yang telah direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, daripada Abu Hurairah:

(إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ... وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ، قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ...)

Mafhumnya: [Sesungguhnya manusia terawal yang disoal siasat pada hari kiamat kelak adalah… (antaranya) Seorang lelaki yang mempelajari ilmu kemudian mengajar ilmu, dan seorang lelaki yang membaca Al-Quran.

Pada hari kiamat kelak, akan dibentangkan segala nikmat-nikmat (yang telah dikurniaankan 
kepadanya ketika di dunia), dan dia tahu akan semua nikmat-nikmat itu.

Lalu Allah bertanya kepada manusia tersebut: “Kau buat apa dengan nikmat-nikmat tersebut?”

Lantas dia menjawab: “Aku belajar dan mengajar ilmu serta membaca Al-Quran semata-mata keranaMu.”

Kemudian Allah memberi respon kepada jawapan itu: “Kau tipu! Kau belajar ilmu adalah untuk 
orang disekeliling kau gelar kau sebagai ilmuan. Dan kau baca Al-Quran adalah untuk orang 
disekeliling kau gelar kau qari.”

Dan sungguh, manusia telah menggelarnya dengan apa yang dia inginkan. Kemudian dia diseret di 
atas mukanya lantas dihumban ke dalam api neraka.]

Mudah-mudahan, kita semua tidak tergolong dalam kalangan yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith di atas.

Sebaliknya, tatkala kita dikelilingi oleh orang yang jauh daripada cara hidup beragama atau orang yang belajar dalam jurusan berbeza, syaitan akan membelit hati kita untuk merasa terhina/malu, mungkin terlintas di hati kita,

“Alahai, mereka semua belajar medic, engineering, account and so on and so forth, aku belajar pengajian islam je.”  

Begitulah manusia, sentiasa nampak nikmat yang ada pada orang lain, sedangkan pada diri dia sendiri juga ada nikmat yang terlalu banyak. Arthur Ashe (pemain legenda tennis), ketikamana membalas salah satu pucuk surat kepada peminatnya berkata:

“Sometimes you are unsatisfied with your life, while many people in this world are dreaming of living your life. A child on farm sees a plane fly overhead and dreams of flying. But, a pilot on the plane sees the farmhouse and dreams of returning home. That’s life!! Enjoy yours.”.

Satu perkara lagi, perjuangan menuntut ilmu tiada titik noktahnya, maka tuntutlah ilmu sehingga hembusan nafas yang terakhir.

MAJLIS ISTIADAT KONVOKESYEN PMMM 2017
      2.      FOKUS KEPADA ILMU, TIDAK KEPADA ISU

Di usia yang muda ini, janganlah terlalu banyak menyibukkan diri dengan isu-isu polemik agama yang tidak berkesudahan. Fokuslah kepada asas-asas ilmu yang wajib kita kuasai. Amat malang, jika kita lebih mahir menceritakan tentang perbezaan karakter si fulan dan si fulan daripada menceritakan tentang perbezaan fiqh dan usul fiqh atau perbezaan nahwu dan sorf. 

Dan amat malang lagi, jika kita juga turut menjadi orang yang bertanggungjawab dalam menambah perisa dalam sesuatu polemik. Buya Hamka pernah berkata di dalam bukunya Falsafah Hidup:

“Amat rendah orang yang mengambil ilmunya tidak buat menolong, tetapi hendak menggolong. Dia mengorbankan masyarakat untuk kepentingan dirinya, dia sendiri tidak mahu berkorban untuk masyarakat. Orang yang begini hanya beban dunia, bukan meringankan beban dunia.”

Sebagai orang yang masih muda dan mentah, fokuslah kepada ilmu-ilmu asas. Usahlah kita terlibat dengan perbuatan menyesatkan sesuatu kumpulan. Biarlah kita tersalah dengan tidak menyesatkan seseorang individu, sedangkan pada hakikatnya dia memang sesat. Kerana ianya lebih baik dan ringan daripada kita tersalah menyesatkan seseorang individu, sedangkan dia tidak sesat.

      3.      BUAH KEPADA ILMU

Imam Ahmad meriwayatkan di dalam kitabnya Az-Zuhd, daripada Abdullah bin Mas’ud berkata: 

ليس العلم بكثرة الرواية ولكن العلم الخشية

Mafhumnya: [Bukanlah ilmu itu pada banyaknya riwayah, akan tetapi ilmu itu adalah perasaan takut].

Jika riwayat ilmu penuh di dada, tetapi perasaan takut dan kehambaan kepada Allah makin menipis, prestasi ibadahnya makin merosot, nilai kemanusiaan makin pudar, maka bukanlah ia satu ilmu yang benar-benar membuah. Apa yang sangat kita perlu risaukan adalah, kita terbang jauh-jauh ke Maghribi ini untuk menuntut ilmu agama, namun dalam sedar tidak sedar, agama turut terbang daripada sangkar hati kita.

Buya Hamka pernah berkata di dalam bukunya Teguran Suci&Jujur Terhadap Mufti Johor:

“Kadang-kadang saya melihat orang berani dan gagah memperdebatkan agama. Dia menyelidiki suatu hukum. Kata orang hukum itu adalah haram, dan menurut penyelidikannya hanyalah makruh. Sebab hanya makruh lalu dikerjakannya! Dan kata orang satu perkara lain hukumnya wajib, menurut penyelidikannya hukum itu hanya sunah. Oleh sebab hanya sunah tidak dikerjakannya lagi. Pendeknya, sejak dia pandai berhujah, agamanya ringan!”.

RAKAN SEPERJUANGAN PERINGKAT IJAZAH SARJANA DI FES, MAGHRIBI

4.      SUMBANG APA YANG TERMAMPU

Jangan kedekut ilmu dan tenaga untuk dicurahkan kepada masyarakat. Terkadang, dunia ini kucar kacir bukan kerana tiada orang bijak yang mampu menyelamatkan dunia, tetapi masalah yang timbul adalah apabila orang yang jahil overconfident untuk memimpin masyarakat, sedangkan orang yang punya keahlian dan ilmu, teragak-agak untuk memimpin masyarakat. Dalam masa sama, janganlah menyentuh isu-isu yang bukan bidang kita. Kalau tidak tahu tentang sesuatu isu, diamlah dan jika ditanya sekalipun, jawablah, “Saya tidak tahu”. Biarlah orang sangka kita bodoh kerana tidak berkata-kata dalam sesuatu isu, daripada orang yakin kita memang bodoh bila kita sudah berkata-kata dalam sesuatu isi.

Dan inilah antara masalah yang dihadapi oleh golongan agamawan pada masa kini, semua perkara hendak dibicarakannya. Prof. Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi pernah bekata (saya nukilkan secara makna):

“Masalah orang bidang agama pada masa kini adalah dia mahu bercakap dalam semua perkara. Walaupun bidang pengkhususannya adalah fiqh, akan tetapi dia sibuk hendak berbicara berkaitan aqidah, tasawwuf, hadith dan sebagainya. Begitulah orang dalam bidang hadith, aqidah dan sebagainya, semuanya mahu berbicara tanpa melihat bidang pengkhususannya. Jika kita lihat orang dalam bidang lain, mereka tidak sibuk hendak berbicara tentang pengkhususan orang lain. Doktor mata tidak akan berbicara tentang penyakit jantung ataupun gigi. Begitulah sebaliknya.”

Fokuslah dalam bidang masing-masing sehingga kita menjadi pakar dalam bidang tersebut. Dalam buku Soar With Your Strengths tulisan Donald Clifton dan Paula Nelson berkata:

“Not being everything is smart; not working on everything but rather emphasizing selected strengths is the route to excellence. For many people, this understanding requires a redirection of the doing all and being all to being more by focusing on less and doing a lot of what you do well”.

Pesanan terakhir saya, dalam mendepani kerenah masyarakat yang pelbagai, ada kemungkinan kita akan dicaci oleh mereka dalam beberapa situasi. Tidak usahlah terlalu terikut dengan rentak cacian mereka, bersabarlah. Saya tutup ucapan saya ini dengan pesanan daripada Imam Syafie: 

قال إمامنا الشافعي: "يخاطبني السفيه بكل قبح، فأكره أن أكون له مجيبا .. يزيد سفاهة فأزيد حلما، كعود زاده الإحراق طيبا .. إذا نطق السفيه فلا تجبه، فخير من إجابته السكوت .."
Mafhumnya:

Orang bodoh berbicara kepadaku dengan penuh caci dan maki,
Namun aku benci untuk menjawab segala caci dan maki mereka.

Bertambahlah kebodohan dia sedangkan aku bertambah bijak,
Seperti kayu gaharu, jika dibakar maka ianya makin mewangi.

Jika orang bodoh berbicara maka janganlah engkau menjawabnya,
Maka jawapan terbaik bagi mereka adalah dengan senyap (tidak berkata apa).

UCAPAN BERAKHIR

Terima kasih kepada yang telah membaca sehingga habis. Moga ada manfaat yang dapat dikutip, walaupun sedikit.






No comments:

Post a Comment