BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
Segala puji bagi
Allah, pemilik sekalian alam yang telah memberikan kita nikmat ilmu
pengetahuan. Sesungguhnya, antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada
hamba-hambaNya di dunia ini adalah nikmat ilmu pengetahuan. Sebahagian besar daripada kita dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan
pembangunan insan dari sudut agama. Jadi, semestinya kebanyakan daripada kita
sudah mula mempelajari Al-Quran sejak zaman kanak-kanak lagi.
Mafhumnya: [Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah
(Al-Quran) dan mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian].
Nabi Muhammad pernah bersabda,
عن عبد الله بن مسعود قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ : آلم حرفٌ ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ ولام حرف وميمٌ حرفٌ )، رواه الترمذي. وانظر : صحيح الترمذي، 2910
Mafhumnya: [Daripada Abdullah Bin Mas’ud berkata, Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, barangsiapa yang membaca Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan. Dan bagi satu kebaikan itu seperti 10 kali ganda. Tidaklah aku mengatakan bahawasanya “alif, lam, mim” itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf].
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi di dalam sahihnya)
Nabi Muhammad juga pernah bersabda,
عن أبي أمامة الباهلي قال : قال رسوا الله صلى الله عليه وسلم : ( اقْرَؤوا القرآنَ فإنه يأتي يومَ القيامةِ شفيعًا لأصحابه ) . صحيح مسلم.
Mafhumnya: Daripada Abu Umamah Al-Bahili berkata: Nabi Muhammad telah bersabda: [Bacalah Al-Quran. Maka sesungguhnya Ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sahabatnya (pembacanya)].
(Sahih Imam Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, Sheikh Dr. Farouq Hammadah telah menyatakan di dalam kitabnya, Dalil Arraghibin ila Riyadhissolihin, bahawa arahan “Bacalah Al-Quran” adalah satu arahan kepada seluruh umat islam. Bermakna, ia juga adalah arahan kepada setiap dari kita agar membaca Al-Quran. Seterusnya sheikh juga ada menerangkan berkaitan kalimah "شفيعا" yang terdapat dalam hadis tersebut. Sheikh menerangkan bahasawanya Al-Quran hanya akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kelak kepada sesiapa yang membacanya dan beriman dengannya serta mempraktikkan inti patinya. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan manusia yang akan diberikan syafaat oleh Al-Quran di akhirat kelak.
Pada zaman ini, manusia boleh dibahagikan kepada beberapa kategori berdasarkan tahap pembacaan Al-Quran mereka. Sheikh Usamah Yasin di dalam kitabnya Hal Attajwidu Wajib, telah mengkategorikan manusia pada masa kini kepada 10 kategori berdasarkan tahap pembacaan Al-Quran mereka. Saya ingin berkongsi ciri-ciri pembacaan Al-Quran kelas pertama yang telah dinyatakan oleh Sheikh Usamah Yasin.
Golongan manusia yang berada pada kelas pertama dalam pembacaan Al-Quran adalah mereka yang membacanya dengan bacaan yang betul, menjaga adab tilawah dan hukum-hukum tajwid. Mereka juga menjaga tempat memulakan bacaan (ibtida’) dan tempat memberhentikan bacaan (waqaf) dengan baik serta bertepatan dengan maksud ayat. Mereka mengambil sanad bacaan Al-Quran daripada guru-guru mereka yang bersambung rantaian sanadnya daripada satu generasi ke satu generasi yang lain hinggalah rantaian sanad ini sampai kepada Rasululllah sollahu ‘alaihi wasallam.
Antara sahabat nabi yang mempunyai pembacaan Al-Quran yang baik dan tepat seperti mana ia diturunkan kepada nabi adalah Abdullah Bin Mas’ud. Sehinggakan nabi sendiri sangat suka mendengar Ibn Mas’ud membaca Al-Quran. Ada satu kisah, nabi kita pernah menangis ketika mendengar Ibn Mas’ud membaca Al-Quran, kisah ini terdapat di dalam sahih Al-Bukhari dan Muslim. Selain itu, Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam juga pernah mengi’tiraf bacaan Ibn Mas’ud dengan sabdanya,
من أحبّ أن يقرأ القرآنَ غَضًّا كما أُنْزِل..فليقرأهُ على قِراءةِ ابن أُمّ عَبْدٍ)، يعني : عبد الله بن مسعود
“Sesiapa yang suka/hendak membaca Al-Quran dengan lancar dan sohih seperti mana ia diturunkan..maka bacalah seperti bacaan Ibn Ummi ‘Abd” iaitu, Abdullah Bin Mas’ud.
(Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah)
Dan diriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Abu Uthman
Annahdi, dia berkata: “Kami solat Maghrib bersama Ibn Mas’ud dan dia telah
membaca ( قل هو الله أحد ), dan demi Allah, aku mendambakan dia
membaca surah Al-Baqarah, dengan kemerduan suaranya dan kelancaran bacaannya.”
Imam Ibn Al-Jazari rahimahullahu ta’ala ketika memberi komentar
berkaitan kisah yang diceritakan di atas berkata, “Inilah sunnatullah tabaraka
wa ta’ala kepada sesiapa yang membaca Al-Quran secara bertajwid dengan tepat
seperti mana ia telah diturunkan, engkau akan berasa kelazatan dan kekhusyukan
di hati ketika dia memperdengarkan bacaanya. Inilah antara rahsia-rahsia Allah
ta’ala yang diberikan kepada sesiapa yang dia kehendaki dalam kalangan
ciptaannya. Sesungguhnya aku sempat bersama tok guru aku yang tidak merdu
suaranya dan tidak mengetahui seni lagu dalam pembacaan Al-Quran. Dia hanya
membaca Al-Quran dalam keadaan yang baik dan melafazkannya secara jelas. Jika
dia membaca Al-Quran, para pendengar akan berasa seronok. Tidak kira mereka ini
dalam kalangan orang awam mahupun orang yang berkecimpung dalam bidang
Al-Quran, orang arab mahupun orang asing (bukan arab). Mereka sanggup
meninggalkan pembaca-pembaca Al-Quran yang merdu suaranya dan pandai melagukan
bacaan tetapi meninggalkan hukum-hukum tajwid.”
Akhir kata, saya menyeru kepada para pembaca sekalian agar terus
berusaha untuk memantapkan bacaan Al-Quran kita dari semasa ke semasa.
Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang mengharapkan perdagangan yang
tiada ruginya dan golongan yang mengharapkan Al-Quran akan datang kepadanya
untuk memberi syafaat di akhirat kelak.
Ketahuilah! Dalam kalangan manusia,
tidak ramai yang suka membaca Al-Quran. Dalam kalangan pembaca Al-Quran, tidak
ramai yang membacanya dengan bertajwid. Dalam kalangan orang yang membaca
Al-Quran dengan bertajwid, tidak ramai yang menghayati inti patinya. Dalam
kalangan orang yang menghayati inti pati Al-Quran, tidak ramai yang mengamalkan
inti pati Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka. Mudah-mudahan Allah
menjadikan kita dalam kalangan yang sedikit (tidak ramai) ini. Allahumma amin. Wallahua'lam
Kitab Rujukan:
1)
Kitab Hal Attajwidu Wajib karangan Syeikh Usamah Yasin Hijazi
Kailani Al-Hasani, cetakan Darul Minhaj, cetakan ketiga (2011).
2)
Kitab Al-Wasit Fi Ilmi Attajwid Liriwayati Hafs ‘An ‘Asim
Min Toriq Assyatibi karangan Jamal Bin Ibrahim Al-Qurasy, cetakan Maktabah
Attaubah, cetakan pertama (2012).
3)
Kitab Dalil Arraghibin ila Riyadhissolihin karangan Sheikh
Farouq Hammadah, cetakan Darul Salam, cetakan pertama (2007).
No comments:
Post a Comment