BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Maha suci Allah daripada sebarang sifat
kekurangan dan kelemahan. Dia adalah Tuhan yang wujud dan hidup tanpa adanya
permulaan dan pengakhiran. Tidak pernah sedetik pun apa yang ada di dalam alam
ini terlepas daripada pengetahuanNya. Sungguh tiada Tuhan yang berhak disembah
melainkan Dia, Tuhan yang tetap hidup dan yang kekal mentadbir sekalian alam.
Dia Tuhan yang tidak pernah mengantuk apatah lagi tertidur.
Dalam
menempuhi kehidupan di dunia ini, manusia diuji oleh Allah dengan pelbagai
bentuk ujian dan cubaan.
Ada yang diuji dengan limpahan harta yang
tidak terkira...
Ada yang diuji dengan pangkat dan jawatan yang
memperdaya...
Ada yang diuji dengan tubuh badan yang tegap lagi perkasa...
Ada
yang diuji dengan rupa paras yang cantik lagi jelita...
Ada
yang diuji dengan isteri yang rupawan lagi mempesona...
Ada
yang dijui dengan kecerdasan aqal yang luar biasa...
Ada
yang diuji dengan kemelaratan hidup yang menyeksa...
Ada
yang diuji dengan penyakit kronik lagi menderita...
Ada
yang diuji dengan ditindas dan dihina...
Dan berbagai-bagai lagi bentuk ujian yang
Allah berikan kepada makhluk-makhlukNya. Hal ini tidak lain dan tidak bukan
hanyalah untuk menguji amal dan kebergantungan makhluk kepadaNya. Allah ta’ala
pernah berfirman di dalam Surah Al-Mulk, ayat 2:
[Dia lah yang telah mentakdirkan adanya
mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : siapakah
di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu),
lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)]
Dalam menghadapi ujian hidup ini, terdapat
segelintir manusia yang tersungkur tatkala diuji dengan kemewahan dan
kesenangan hidup. Tidak kurang juga manusia yang tewas tatkala diduga dengan
kesusahan dan penderitaan hidup.
SI KAYA YANG HILANG JIWA KEHAMBAAN
Terkadang, kemewahan hidup telah menipiskan
jiwa kehambaan manusia dan menebalkan jiwa ketuanan di lubuk hati mereka.
Apabila semua benda boleh dicapai dengan mudah, semua impian boleh digapai
dengan sekelip mata, maka kebergantungan insan kepada Allah mula dilupakan.
Mereka merasakan seolah-olah dunia ini milik mereka.
Maka, bermulalah episod kezaliman ke atas
manusia yang lemah dan miskin. Manusia yang lemah dan miskin menjadi mangsa
kerakusan harta dan pangkat yang diidam-idamkan, wanita yang lemah menjadi
mangsa untuk melampiaskan nafsu serakah mereka dan berbagai-bagai bentuk kezaliman
yang mereka rencana dan lakukan. Sungguh, jiwa insan berada pada situasi yang
sangat bahaya pada saat itu. Ketahuilah, kemuncak kepada kegersangan dan
kekontangan jiwa sebegini akan membawa kepada timbulnya jiwa ketuhanan pada
yang tidak selayaknya. Hal ini telah dilakukan oleh Firaun yang telah
dirakamkan kisahnya di dalam Al-Quran, (apabila terbit kata-kata yang tidak
layak diungkapkan oleh makhluk, Firaun telah berkata, “AKULAH TUHAN KAMU YANG
TERTINGGI”). Allah ta’ala berfirman di dalam Surah An-Nazi’at, ayat 20-24 :
[(Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah
Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa
memperlihatkan kepada Firaun: mukjizat
yang besar. Lalu Firaun mendustakan
(Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah); Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan
usahanya (menentang Nabi Musa). Lalu ia menghimpunkan orang-orang dan menyeru
dengan berkata : “Akulah tuhan kamu yang tertinggi”.]
GAMBAR HIASAN |
SI LEMAH YANG MENYALAHKAN TUHAN
Begitu jugalah sebaliknya yang berlaku kepada
manusia yang diuji dengan ujian kesusahan dan kesempitan hidup. Segelintir
daripada mereka tidak mampu menahan diri dalam menempuhi ujian yang Allah
timpakan kepada mereka. Tatkala diri mereka dizalimi, ditindas dan diperkosa,
Tuhanlah yang dipersalahkan.
Sehinggakan ada di antara mereka yang mendakwa
‘Tuhan sudah mati’ kerana tidak membantu mereka dalam kesusahan, mereka
mempersoalkan, “Kenapa Tuhan biarkan kami hidup susah sedangkan kami juga
hambaNya?”.
Ada juga yang mendakwa, ‘Tuhan sudah mati’
kerana penindasan dan kezaliman berleluasa, mereka mempersoalkan, “Apakah tugas
dan fungsi Tuhan kalau orang yang zalim dibiarkan hidup aman dan tenteram?”.
Tidak kurang juga yang mendakwa, ‘Tuhan sudah
mati’ kerana Tuhan tidak mampu menghalang dan menghukum orang yang zalim, mereka
mempersoalkan, “Adakah Tuhan sudah mati tatkala tiada orang yang mampu
menghalang kezaliman ke atas kami?
Nyatalah, mereka telah tersalah sangka dengan
Tuhan. Allah ta’ala pernah berfirman di dalam Surah Ibrahim, ayat 42-43:
[Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim;
sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang
padanya terbeliak kaku pemandangan
mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam
pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang mahsyar) sambil
mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka
tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).]
Ketahuilah, Tuhan tidak pernah mati.
Sebaliknya, hati manusialah yang mati. Hati yang mati adalah hati yang
memandang dunia sebagai matlamat utama. Hati yang mati juga adalah hati yang tidak beriman akan hari
akhirat yang menjadi tempat perhitungan amal. Hati yang mati juga adalah hati yang tidak pernah
bersangka baik dengan ketentuan Tuhan. Lihatlah bagaimana mekar dan suburnya
hati para nabi dan sahabat, mereka meletakkan Allah sebagai matlamat utama. Mereka
juga menjadikan akhirat lebih besar daripada dunia. Tidak pernah seorang pun
daripada mereka menyalahkan Tuhan tatkala diri mereka dihina dan diseksa.
Telusurilah jalan kehidupan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Hayatilah kisah
Bilal bin Rabah dan Zinnirah. Pasti kita akan dapat mengetahui pengorbanan dan
keimanan mereka kepada Allah. Sungguh besar penderitaan dan penyeksaan yang
ditimpakan ke atas mereka, akan tetapi mereka mempunyai matlamat yang jelas dan jiwa yang besar sekaligus membolehkan mereka
mampu menempuh segala ujian itu dengan sabar.
Islam
tidak pernah menghalang kita untuk mencari harta dan kesenangan hidup. Akan
tetapi, ingatlah!!! Segala yang ada di alam ini adalah milik Allah semata.
Janganlah kita menggunakan kemewahan yang ada pada kita untuk menzalimi orang
lain dan merasa diri kita memiliki segala-galanya. Begitu juga Islam tidak
pernah menghalang kita untuk memperjuangkan hak kita yang dizalimi. Namun di
sana perlu diingat, dalam keghairahan kita memperjuangkan hak kita, janganlah
sampai kita mengetepikan hak Allah. Dia berhak diesakan dan disembah.
Mudah-mudahan, kita semua mendapat hidayah daripada Allah dalam setiap langkah
kehidupan kita. Jadilah insan yang paling bersyukur tatkala diuji dengan
kesenangan dan kemewahan hidup. Sebaliknya, jadilah
insan yang paling bersabar tatkala diuji dengan kesusahan dan kesempitan hidup.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment