Saturday 22 August 2015

DUNIA YANG DI SALAH ERTIKAN

 BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM 


     Segelintir manusia mempunyai tafsiran yang salah terhadap beberapa ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi Muhammad yang mencela dan mencemuh kehidupan dunia. Mereka menyangka manusia dilarang untuk menikmati kehidupan dunia secara menyeluruh. Sebagai contoh, mereka beranggapan manusia tidak boleh bekerja untuk mencari harta walaupun dengan cara yang halal dan mereka juga beranggapan manusia tidak boleh menikmati kehendak syahwat mereka walau dengan apa cara sekalipun. Sungguh, sangkaan ini adalah tidak tepat. 

     Jadi, jika sangkaan mereka itu tidak tepat, apa pula pandangan yang lebih tepat dalam hal ini? Bagi menjawab persoalan ini, saya akan cuba membawa beberapa pandangan tokoh ilmuan islam dalam hal ini. Sebelum itu, suka saya untuk memberikan beberapa contoh ayat Al-Quran yang mencela dan mencemuh kehidupan dunia.

( اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْو... ( الحديد : 20 

Mafhumnya : “Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan)…” (al-Hadid : 20) 

 ( وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ( الحديد : 20...  

Mafhumnya : “…Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (al-Hadid : 20) 

( وَمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ( العنكبوت : 64 

Mafhumnya : “Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (al-‘Ankabut : 64)



     Imam Ghazali (wafat 505 hijrah) menyebut di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, : [Ini adalah satu kesalahan yang berlaku bagi segelintir manusia yang menyangka maksud daripada bersungguh-sungguh meninggalkan dunia adalah menyekat manusia daripadanya (dunia) secara total. Lantas mengabaikannya. Sesungguhnya syahwat itu diciptakan untuk memberi manfaat kepada kehidupan dan ianya adalah perkara penting dalam tabiat semula jadi. Jika tiada syahwat makan, maka akan binasalah manusia. Jika tiada syahwat perhubungan seks, maka akan pupuslah sistem kehidupan. Jika tiada perasaan marah secara total, maka manusia tidak akan mempertahankan hak dirinya walaupun dia dianiaya oleh orang lain… Bukanlah satu tuntutan (di dalam islam) untuk menolak dunia secara total, sebaliknya apa yang dituntut (di dalam islam) adalah mengembalikan ia kepada kesederhanaan iaitu berada pada garisan pertengahan di antara terlalu menolak dan terlalu mengikutinya.] {1}

     Imam as-Syathibi (wafat 790 hijrah) pula berkata di dalam kitabnya al-Muwafaqat : [Dan ketikamana Allah Ta’ala mencemuh dunia dan perhiasannya, maka sebahagian daripada para sahabat ridhwanullahu’alaihim berazam untuk tidak mengahwini perempuan dan meninggalkan kelazatan dunia. Mereka ingin mengasingkan diri semata-semata untuk beribadah kepada Allah. Maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menolak perbuatan mereka dengan bersabda : “Barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku maka mereka bukanlah daripada kalanganku”.] {2}

    Seterusnya saya ingin membawa intipati pemikiran Doktor Yusuf al-Qaradhawi dalam hal ini. Ianya seperti berikut, [Islam merupakan agama sederhana dalam memahami hakikat kehidupan manusia yang berada di antara dua aliran. Pertama golongan yang menolak adanya hari kiamat dan menganggap dunia kekal selamanya. Firman Allah:

( وَقَالُواْ إِنْ هِيَ إِلاَّ حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ ( الأنعام : 29 

Mafhumnya : “Dan tentu mereka akan mengatakan, (Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia ini sahaja dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan).” (al-An’am : 29) 

      Golongan ini tenggelam dalam jurang nafsu syahwat yang membawa kepada kesalahan dan dosa. Mereka memperhambakan diri kepada kebendaan dan tidak ada hala tuju dalam kehidupan kecuali untuk mendapat habuan dunia semata-mata.

   Manakala, golongan kedua pula yang menolak kehidupan dunia dan tidak pernah menghiraukannya. Mereka melihat dunia adalah keburukan yang perlu dielakkan dan mengharamkan ke atas mereka kelazatan dunia dan nikmatnya. Mereka mengasingkan diri dari aktiviti keduniaan dan masyarakat. 

      Sedangkan risalah islam datang untuk mengajarkan kepada bani insan bahawa di sana adanya dua kehidupan iaitu kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Islam menjadikan dunia sebagai ladang untuk manusia menyimpan hasil bekalannya di alam akhirat. 

     Islam menganggap aktiviti kehidupan manusia adalah ibadah kepada Allah dan sebahagian dari pelaksanaan tugas manusia. Islam menolak tindakan meyusah dan memayahkan dalam urusan agama sehingga meninggalkan kehidupan dunia dan nikmat yang terdapat di dalamnya, sebagaimana islam turut menolak tindakan golongan yang hanyut dengan keduniaan semata-mata.] {3}

Wallahua'lam.

{1} Dinukilkan oleh Doktor Ahmad al-Raisuni. Maqosid al-Maqsosid. 2013. As-Syabakah al-Arabiah. Halaman 105.
{2} Lihat as-Syathibi. Al-Muwafaqot. 1997. Dar Ibn ‘Affan. Jilid 2, halaman 284.
{3} Diterjemahkan oleh Rosli Mokhtar, Keserdahanaan Dalam Islam. 2011. Casa Publication. Halaman 32 & 33.

No comments:

Post a Comment