Monday 9 March 2015

KISAH SI GADIS PEMUKAU

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
        
Al-kisah.....
Pada satu hari yang hening, seorang pemuda telah menzahirkan hasrat hati kepada ayahnya, "Ayah, aku ingin mengahwini seorang gadis yang telah aku lihat. Sungguh, aku telah jatuh hati dengan kejelitaanya. Jiwaku terpukau dengan kecantikan matanya."

Ayahnya pun menyambut keinginan anaknya itu dengan perasaan yang sungguh gembira dan bahagia, "Mana gadis yang kau maksudkan itu, biar ayah risikkan untuk kau wahai anakku."

Mereka berdua pergi kepada gadis tersebut. Tatkala si ayah melihat susuk tubuh gadis yang dimaksudkan, si ayah turut terpukau dan terpesona dengan gadis tersebut lantas berkata kepada si anak, "Dengar sini wahai anakku! Gadis ini tidak sesuai untuk kau. Gadis ini sesuai untuk orang yang berpengalaman dalam hidup seperti ayah."

Tercengang si anak dengan kata-kata si ayah lantas menyuarakan bantahannya, "Sesekali tidak! Aku yang akan berkahwin dengan dia. Bukan ayah!"

Maka bertengkarlah si ayah dan si anak untuk mendapatkan si gadis pemukau. Mereka pergi ke balai polis untuk menyelesaikan pertelingkahan tersebut. Selepas diceritakan masalah mereka kepada pegawai di sana, maka pegawai tersebut berkata, "Bawa gadis itu ke sini. Biar kami tanya dia sendiri, dia berkenan kepada si anak ke berkenan kepada si ayah."

Tatkala pegawai tersebut melihat susuk tubuh si gadis pemukau, maka mencairlah jiwa kelakiannya lantas berkata, "Gadis ini tidak sesuai untuk kamu berdua. Dia sesuai untuk orang berkedudukan di dalam negeri seperti aku."

Bertengkar pulalah tiga orang ini. Mereka pergi ke satu kementerian untuk menyelesaikan masalah ini. Apabila menteri melihat si gadis pemukau, menteri itu berkata, "Gadis ini tidak akan berkahwin dengan mana-mana lelaki kecuali lelaki tersebut adalah seorang menteri seperti aku."

Macam biasa, bertengkar jugalah si anak, si ayah, si pegawai dan si menteri. Maka sampailah berita ini kepada Perdana Menteri.

Ketika mereka berempat menghadap Perdana Menteri, arahan terus dikeluarkan, "Aku akan selesaikan masalah kamu semua. Bawa gadis itu ke sini!" Apabila Perdana Menteri melihat si gadis pemukau, lantas beliau menyatakan pendapatnya, "Gadis ini tidak akan berkahwin kecuali dengan Perdana Menteri seperti aku."

Episod pertengkaran merebut si gadis pemukau berjalan seperti mana skrip sebelum-sebelum ini. Cuma wataknya bertambah kepada lima orang.

Buat pertama kalinya si gadis pemukau menyuarakan pendapatnya, "Aku ada satu solusi. Solusinya begini, aku akan berlari dan kamu berlima akan berlari di belakangku. Siapa yang dapat pegang aku terlebih dahulu, dia akan berkahwin denganku."

Maka bermulalah acara larian yang entah berapa meter jaraknya. Si gadis pemukau lari di hadapan manakala lima orang yang terpukau tadi berlari di belakangnya. Dalam drama kejar-mengejar ini, akhirnya pada satu ketika lima orang lelaki tadi terjatuh ke dalam satu lubang yang dalam. Maka si gadis pemukau pergi melihat mereka berlima di dalam lubang lantas berkata :

"Kamu semua kenal siapa aku? Kalau kamu semua ingin tahu, aku adalah DUNIA!!! Ramai manusia yang terkejar-kejar untuk mendapatkan aku sehingga sanggup tinggalkan ajaran agama. Manusia yang sebegini, sampai masuk lubang kubur sekalipun dia tidak akan sesekali memperolehiku (puas dengan apa yang ada pada diriku)".

Dan ingatlah, bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Ya Allah...janganlah jadikan dunia ini sebagai cita-cita terbesar kami... Naikkanlah tahap keimanan kami dari semasa ke semasa.

*Terjemahan yang tidak begitu terikat dengan teks asal cerita. Cerita ini mungkin tiada sandarannya dan mungkin juga mustahil untuk berlaku. Sumber rujukannya juga sangat tidak layak dijadikan bahan ilmiah. Cerita-cerita sebegini boleh dijadikan peringatan untuk memberi pengajaran kepada manusia. Akan tetapi sesekali bukan untuk menjadi dalil agama. Dalil agama tidak boleh direka-reka dan ditokok tambah. Ketahuilah, agama-agama terdahulu telah rosak kerana banyak berlakunya tokok tambah daripada golongan agamawan mereka sndiri. Golongan agamawan yang dimaksudkan di sini adalah golongan agamawan yang menjaga kepentingan peribadi dan tidak punya sifat rabbani. Cerita ini saya terjemahkan daripada:



Wallahua'lam 

No comments:

Post a Comment