Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Monday, 15 February 2016

CINTA ITU BUTA

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM




Cintaku pada Allah terpateri di hati, walau hanya dengan melihat keindahan ciptaanNya...

Cintaku pada Nabi terus dicengkam rapi, walau masih tidak berpeluang menatap kemanisan wajahnya...

Kerana cinta itu buta, ianya mampu bertamu di hati si buta mata...

Kerana cinta itu buta, ianya mampu bertahan sehingga ke hari tua... 

Moga si cinta sudi bertandang di hatiku, untuk aku mencintai kepada yang selayaknya...

Moga si cinta tidak jemu bersarang di hatiku, supaya benci tidak mengambil alih kelompongan yang ada...

Thursday, 11 February 2016

AWAN PUTIH


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM





Friday, 25 December 2015

Wednesday, 2 September 2015

MUHASABAH MERDEKA


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM



Thursday, 20 November 2014

TUHAN TIDAK PERNAH MATI!!!


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM


            Maha suci Allah daripada sebarang sifat kekurangan dan kelemahan. Dia adalah Tuhan yang wujud dan hidup tanpa adanya permulaan dan pengakhiran. Tidak pernah sedetik pun apa yang ada di dalam alam ini terlepas daripada pengetahuanNya. Sungguh tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Tuhan yang tetap hidup dan yang kekal mentadbir sekalian alam. Dia Tuhan yang tidak pernah mengantuk apatah lagi tertidur.

         Dalam menempuhi kehidupan di dunia ini, manusia diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk ujian dan cubaan.

Ada yang diuji dengan limpahan harta yang tidak terkira...
Ada yang diuji dengan pangkat dan jawatan yang memperdaya...
Ada yang diuji dengan tubuh badan yang tegap lagi perkasa...
Ada yang diuji dengan rupa paras yang cantik lagi jelita...
Ada yang diuji dengan isteri yang rupawan lagi mempesona...
Ada yang dijui dengan kecerdasan aqal yang luar biasa...
Ada yang diuji dengan kemelaratan hidup yang menyeksa...
Ada yang diuji dengan penyakit kronik lagi menderita...
Ada yang diuji dengan ditindas dan dihina...

Dan berbagai-bagai lagi bentuk ujian yang Allah berikan kepada makhluk-makhlukNya. Hal ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menguji amal dan kebergantungan makhluk kepadaNya. Allah ta’ala pernah berfirman di dalam Surah Al-Mulk, ayat 2:

[Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)]

            Dalam menghadapi ujian hidup ini, terdapat segelintir manusia yang tersungkur tatkala diuji dengan kemewahan dan kesenangan hidup. Tidak kurang juga manusia yang tewas tatkala diduga dengan kesusahan dan penderitaan hidup.

SI KAYA YANG HILANG JIWA KEHAMBAAN

Terkadang, kemewahan hidup telah menipiskan jiwa kehambaan manusia dan menebalkan jiwa ketuanan di lubuk hati mereka. Apabila semua benda boleh dicapai dengan mudah, semua impian boleh digapai dengan sekelip mata, maka kebergantungan insan kepada Allah mula dilupakan. Mereka merasakan seolah-olah dunia ini milik mereka.

Maka, bermulalah episod kezaliman ke atas manusia yang lemah dan miskin. Manusia yang lemah dan miskin menjadi mangsa kerakusan harta dan pangkat yang diidam-idamkan, wanita yang lemah menjadi mangsa untuk melampiaskan nafsu serakah mereka dan berbagai-bagai bentuk kezaliman yang mereka rencana dan lakukan. Sungguh, jiwa insan berada pada situasi yang sangat bahaya pada saat itu. Ketahuilah, kemuncak kepada kegersangan dan kekontangan jiwa sebegini akan membawa kepada timbulnya jiwa ketuhanan pada yang tidak selayaknya. Hal ini telah dilakukan oleh Firaun yang telah dirakamkan kisahnya di dalam Al-Quran, (apabila terbit kata-kata yang tidak layak diungkapkan oleh makhluk, Firaun telah berkata, “AKULAH TUHAN KAMU YANG TERTINGGI”). Allah ta’ala berfirman di dalam Surah An-Nazi’at, ayat 20-24 :

[(Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan  kepada Firaun: mukjizat yang besar. Lalu Firaun mendustakan  (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah); Kemudian  ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). Lalu ia menghimpunkan orang-orang dan menyeru dengan berkata : “Akulah tuhan kamu yang tertinggi”.]


GAMBAR HIASAN

SI LEMAH YANG MENYALAHKAN TUHAN

Begitu jugalah sebaliknya yang berlaku kepada manusia yang diuji dengan ujian kesusahan dan kesempitan hidup. Segelintir daripada mereka tidak mampu menahan diri dalam menempuhi ujian yang Allah timpakan kepada mereka. Tatkala diri mereka dizalimi, ditindas dan diperkosa, Tuhanlah yang dipersalahkan.

Sehinggakan ada di antara mereka yang mendakwa ‘Tuhan sudah mati’ kerana tidak membantu mereka dalam kesusahan, mereka mempersoalkan, “Kenapa Tuhan biarkan kami hidup susah sedangkan kami juga hambaNya?”.

Ada juga yang mendakwa, ‘Tuhan sudah mati’ kerana penindasan dan kezaliman berleluasa, mereka mempersoalkan, “Apakah tugas dan fungsi Tuhan kalau orang yang zalim dibiarkan hidup aman dan tenteram?”.

Tidak kurang juga yang mendakwa, ‘Tuhan sudah mati’ kerana Tuhan tidak mampu menghalang dan menghukum orang yang zalim, mereka mempersoalkan, “Adakah Tuhan sudah mati tatkala tiada orang yang mampu menghalang kezaliman ke atas kami?   

Nyatalah, mereka telah tersalah sangka dengan Tuhan. Allah ta’ala pernah berfirman di dalam Surah Ibrahim, ayat 42-43:

[Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan  mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).]

            Ketahuilah, Tuhan tidak pernah mati. Sebaliknya, hati manusialah yang mati. Hati yang mati adalah hati yang memandang dunia sebagai matlamat utama. Hati yang mati juga adalah hati yang tidak beriman akan hari akhirat yang menjadi tempat perhitungan amal. Hati yang mati juga adalah hati yang tidak pernah bersangka baik dengan ketentuan Tuhan. Lihatlah bagaimana mekar dan suburnya hati para nabi dan sahabat, mereka meletakkan Allah sebagai matlamat utama. Mereka juga menjadikan akhirat lebih besar daripada dunia. Tidak pernah seorang pun daripada mereka menyalahkan Tuhan tatkala diri mereka dihina dan diseksa. Telusurilah jalan kehidupan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Hayatilah kisah Bilal bin Rabah dan Zinnirah. Pasti kita akan dapat mengetahui pengorbanan dan keimanan mereka kepada Allah. Sungguh besar penderitaan dan penyeksaan yang ditimpakan ke atas mereka, akan tetapi mereka mempunyai matlamat yang jelas dan jiwa yang besar sekaligus membolehkan mereka mampu menempuh segala ujian itu dengan sabar.

            Islam tidak pernah menghalang kita untuk mencari harta dan kesenangan hidup. Akan tetapi, ingatlah!!! Segala yang ada di alam ini adalah milik Allah semata. Janganlah kita menggunakan kemewahan yang ada pada kita untuk menzalimi orang lain dan merasa diri kita memiliki segala-galanya. Begitu juga Islam tidak pernah menghalang kita untuk memperjuangkan hak kita yang dizalimi. Namun di sana perlu diingat, dalam keghairahan kita memperjuangkan hak kita, janganlah sampai kita mengetepikan hak Allah. Dia berhak diesakan dan disembah. Mudah-mudahan, kita semua mendapat hidayah daripada Allah dalam setiap langkah kehidupan kita. Jadilah insan yang paling bersyukur tatkala diuji dengan kesenangan dan kemewahan hidup.  Sebaliknya, jadilah insan yang paling bersabar tatkala diuji dengan kesusahan dan kesempitan hidup. Wallahua’lam.



Monday, 27 October 2014

SIAPA KITA??


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

            Bermulanya perjalanan hidup kita dengan permulaan yang begitu hina. Kita hanyalah seorang insan yang berasal daripada setitik air yang sangat hina (air mani). Jika ditaburkan air itu ke atas tanah, nescaya tidak membawa sebarang manfaat. Maha Kuasa Sang Pencipta yang menjadikan kita daripada air yang hina itu. Berasalnya kita daripada satu sel yang terkecil di dalam tubuh manusia iaitu sperma (benih lelaki) yang bercantum dengan satu sel yang terbesar di dalam  tubuh manusia iaitu ovum (benih wanita).


         

         Ya, kita tidak mampu mengimbau memori sewaktu kita di dalam kandungan ibu. Namun, tatkala kita memerhatikan seorang ibu yang sedang sarat mengandung, dapatlah kita bayangkankan keadaan kita suatu masa dahulu. Sedia maklum, kita pernah mengakui bahawa Allah adalah Tuhan kita. Ingatlah, dialah Tuhan yang menjaga kita dan sekalian manusia di dalam perut ibu masing-masing. Tidaklah menjadi satu masalah bagi Yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa untuk menjaga kita walaupun hanya berdindingkan kulit manusia yang nipis dan lembut. Kulit manusia tidaklah sekuat dinding kereta kebal yang mampu mempertahankan tuannya daripada serangan musuh. Siapa kita untuk megingkari arahan dan laranganNya?    

                                                   
GAMBAR HIASAN
        

       Pada satu ketika, seorang wanita yang bergelar ibu pernah membataskan pergerakan mereka demi memastikan anak di dalam kandungan sentiasa berada dalam keadaan baik. Wanita itu tidak dapat menjalankan aktiviti-aktiviti harian secergas hari-hari biasanya. Wanita itu juga terpaksa membataskan beberapa jenis makanan. Hal ini semua di lakukan semata-mata untuk memastikan kita yang berada dalam perutnya sentiasa dalam keadaan terbaik. Ketahuilah, wanita itu pernah berjuang seluruh jiwa dan raganya untuk memastikan kita dapat melihat keindahan alam yang serba bercahaya. Berbeza dengan alam sebelumnya itu yang penuh dengan kegelapan. Gelap pada pandangan mata kita. Mata yang hanya celik tatkala mendapat suluhan cahaya dan tidak celik jika dalam keadaan gelap gelita. Adakah kita dapat melihat sesuatu jika kita diletakkan dalam sebuah bilik yang gelap? Sudah tentu jawapannya tidak. Ternyata kita hanyalah seorang manusia yang lemah. Akan tetapi masih ramai lagi manusia lemah yang sombong dengan Tuhan. 

Seinfiniti kesyukuran kita panjatkan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla kerana telah memberi ibu dan bapa yang cukup baik kepada kita. Kita telah dididik dan diasuh oleh ibu dan bapa kita dengan limpahan kasih dan sayang. Kita tidak senasib dengan sebahagian saudara kita yang tidak sempat merasai nikmat dunia. Ibu dan bapa mereka membuang mereka di jalanan tanpa sebarang sebab dan alasan yang boleh diterima. Disebabkan malu dengan dosa yang mereka lakukan pada suatu ketika dahulu, anak kecil yang suci daripada sebarang dosa pula yang menjadi mangsa. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita daripada melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Kita juga berharap agar mereka yang telah terlanjur dalam melakukan perbuatan yang terkutuk itu akan menemui jalan yang lurus sebelum ajal menjemput.


Semoga kita semua menjadi hambaNya yang bersyukur dan tidak lupa asal usul. Sungguh, kita tidak akan berjaya pada hari ini dengan usaha kita semata.

Kalaulah kita berjaya pada hari ini hanya dengan usaha kita semata, kenapa kita tidak menjadikannya lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang?

Kalaulah kita handsome/cantik disebabkan diri kita sendiri semata, kenapa kita tidak menjadikannya lebih handsome/cantik daripada yang kita ada sekarang?

Kalaulah kita seorang yang banyak ilmu dengan usaha kita semata, kenapa kita tidak menjadikannya lebih banyak daripada yang kita ada sekarang?

Begitulah seterusnya. Jadi, jangan sesekali kita lupa akan Pemberi atas segala nikmat yang kita perolehi di dunia ini. Kembalikanlah segala puja dan puji kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Wallahua’lam.